Penanaman kenaf antara bidang yang berpotensi dikembangkan untuk perkukuh hubungan ekonomi kedua-dua pihak.

Gabenor Wilayah Tashkent Zoyir Mirzayev berkata, kerjasama itu boleh diperkukuh menerusi perkongsian kepakaran serta pemanfaatan sumber ekonomi dan kelebihan yang dimiliki kedua-dua pihak.
Menurutnya, usaha meneroka potensi penanaman kenaf sudah dimulakan, termasuk kemungkinan memperluas projek berkenaan di Tashkent susulan perbincangan terdahulu.
“Usaha itu mencerminkan perkembangan positif perbincangan terdahulu dalam mengenal pasti bidang pertanian yang berpotensi dikembangkan melalui kerjasama strategik,” menurut kenyataan mengenai pertemuan itu.
Dalam sektor pelancongan, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang kerjasama dengan memanfaatkan tarikan dan keunikan destinasi masing-masing bagi merancakkan kegiatan ekonomi.
Perkara itu dibangkitkan Zoyir pada majlis santapan malam yang dihoskannya bagi meraikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis berkenaan berlangsung di Amirsoy Mountain Resort, sebuah pusat peranginan pergunungan kira-kira 80km dari bandar Tashkent, sebelum pasangan diraja itu berangkat pulang ke tanah air.
Zoyir turut menyifatkan hubungan baiknya dengan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta Tuanku Syed Faizuddin sebagai ‘asas penting untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak’.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Rafeedah Abdul Aziz dan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.
Anakanda puteri kedua pasangan diraja itu, Sharifah Farah Adriana Jamalullail turut berangkat ke majlis berkenaan.
Pada April tahun lalu, Zoyir mengadakan lawatan kerja ke Perlis dan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau, selain mengunjungi Universiti Malaysia Perlis.
Beliau turut menyertai program Kayuhan Amal MAIPs Peduli di kawasan Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Susulan lawatan itu, Zoyir yang diiringi Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Karomiddin Gadoev memilih Perlis secara rasmi sebagai rakan kerjasama utama Wilayah Tashkent di Malaysia. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.