Penasihat DAP berkata parti itu berpegang teguh kepada prinsip memperjuangkan kebenaran dan menolak kemungkaran, meskipun kehilangan jawatan dalam Jemaah Menteri.

Jelasnya, tindakan Loke meletak jawatan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah membuktikan parti itu tidak mengubah pendirian, meskipun kini menjadi sebahagian kerajaan.
“Loke telah membuktikan dengan jelas bahawa inilah DAP yang sebenar apabila beliau sanggup mengorbankan jawatan demi prinsip, serta melepaskan segala kemudahan dan keistimewaan jawatan demi mempertahankan maruah,” katanya dalam kenyataan.
Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP berkata, Loke menunaikan janjinya untuk berundur dan membuktikan beliau melaksanakan apa yang diperjuangkannya.
Beliau berkata, DAP kekal tegas membantah peranan utama Najib dalam skandal 1MDB, yang menurutnya membabitkan RM52 bilion, sama ada ketika parti itu berada di blok pembangkang atau dalam kerajaan.
Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta semalam susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Setiausaha agung DAP itu sebelum ini mengumumkan hasrat meletak jawatan selepas pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib, namun bersetuju meneruskan tugas buat sementara atas permintaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Jumaat lalu, Loke menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa sebaik saja Najib memulakan tahanan rumah, sekali gus menjadikan keputusan mahkamah semalam sebagai titik pelaksanaan janji itu.
Lim berkata, DAP berpegang teguh kepada prinsip memperjuangkan kebenaran dan menolak kemungkaran, meskipun tindakan itu menyebabkan parti kehilangan jawatan dalam Jemaah Menteri.
Tegasnya, seluruh kepimpinan dan anggota DAP berdiri teguh di belakang Loke susulan keputusannya. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.