Pengetahuan masyarakat tentang dadah perlu seiring perubahan. Gambaran dadah sebagai serbuk, pil atau bahan disuntik sudah tidak mencukupi.

Seorang pelajar berusia 17 tahun di sebuah sekolah menengah di Nilai disyaki berada dalam keadaan khayal selepas menggunakan vape, menurut kenyataan polis pada 5 Nov 2026.
Saringan awal air kencingnya menunjukkan keputusan positif ketamin, benzodiazepin dan THC, walaupun keputusan tersebut masih memerlukan pengesahan lanjut. Pelajar berkenaan akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Keputusan itu belum membuktikan bahawa ketiga-tiga bahan tersebut terkandung dalam cecair vape yang digunakannya. Namun, penyalahgunaan cecair vape sebagai medium pengambilan bahan terlarang sudah menjadi ancaman yang perlu diketahui ibu bapa.
Mudah untuk kita membaca berita ini lalu menganggapnya sebagai masalah orang lain. Bukan anak kita, bukan juga di sekolah anak kita.
Ada ibu bapa yang tidak pernah melihat anak menggunakan vape, cuma kerap terhidu bau buah-buahan dari bilik anak atau bilik air. Bau itu mungkin tidak menimbulkan syak.
Anak berada di rumah, di depan mata, lalu kita berasa dia selamat. Kita tahu jadual sekolah, kelas tambahan dan waktu dia pulang. Namun, sejauh mana kita tahu tentang bahan yang mungkin sedang dicubanya?
Dan, sejauh mana kita boleh yakin bahawa anak sendiri tidak akan terjebak dalam penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang? Jika perkara ini berlaku kepada ahli keluarga atau anak jiran, adakah kita tahu apa yang patut dilakukan?
Pengetahuan masyarakat tentang dadah perlu seiring dengan perubahan yang sedang berlaku. Gambaran dadah sebagai serbuk, pil atau bahan yang disuntik sudah tidak mencukupi.
Ibu bapa juga perlu mengenali istilah seperti perangsang jenis amfetamin (ATS) dan bahan psikoaktif baharu (NPS), serta memahami bahawa cecair vape boleh menjadi medium pengambilan bahan terlarang.
Pada 9 Jun 2026, Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, memberi amaran tentang penyalahgunaan peranti ini untuk mengambil bahan seperti kanabinoid sintetik, fentanil dan etomidat.
Walaupun bukan semua vape mengandungi dadah, risiko kandungan yang tidak diketahui ini tidak boleh dipandang ringan.
Menurut buku Maklumat Dadah 2025 terbitan AADK, seramai 191,832 penagih dan penyalah guna dadah dan bahan direkodkan sepanjang 2025, iaitu 560 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Data ini dihimpunkan daripada AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pusat pemulihan persendirian.
Siapakah mereka? Sebahagian besarnya lelaki (95.3%), manakala 8,926 orang atau 4.7% ialah perempuan.
Golongan berusia 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan terbesar, iaitu 113,807 orang atau 59.3%, diikuti golongan berusia 40 hingga 59 tahun seramai 72,590 orang (37.8%) dan 60 tahun ke atas seramai 5,397 orang (2.8%).
Seramai 2,379 orang berusia 15 hingga 19 tahun, dan 38 orang berusia 14 tahun dan ke bawah. Lebih separuh (57.4%) berpendidikan setakat sekolah menengah.
Dari segi pekerjaan, 35.8% tidak bekerja, manakala 28.3% bekerja sendiri dan 23% bekerja di sektor swasta.
Angka remaja yang kecil tidak wajar membuatkan kita leka. Angka itu hanya mencerminkan kes yang dikesan dan direkodkan secara rasmi, bukan remaja yang sedang mencuba tanpa diketahui sesiapa.
Pada masa sama, hampir dua pertiga daripada mereka yang direkodkan mempunyai pekerjaan. Ini menunjukkan bahawa perhatian terhadap penyalahgunaan dadah perlu berterusan selepas anak meninggalkan sekolah, memasuki IPT dan mula bekerja.
Masalah ini turut melibatkan golongan dewasa yang sudah mempunyai pekerjaan dan keluarga.
Apakah bahan yang digunakan? Stimulan jenis amfetamin (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi kekal bahan utama, melibatkan 141,817 orang atau 73.9%.
Ini diikuti opiat seperti heroin dan morfin (20.3%) serta ganja (3.3%). Pil psikotropik jenis benzodiazepin mencatatkan 1%, manakala kategori lain-lain yang merangkumi ketamin, ketum, kokain, halusinogen dan inhalan mencatatkan 1.6%.
Statistik ini merujuk jenis dadah secara keseluruhan, bukannya penggunaan vape berdadah secara khusus.
Ibu bapa tidak dapat mengenal pasti kandungan cecair vape melalui rupa atau baunya. Bau buah-buahan serta nama seperti mushroom dan ‘piu piu’ tidak menjelaskan bahan sebenar atau dosnya. Kandungan hanya dapat dipastikan melalui analisis makmal.
Sesetengah bahan mempunyai kegunaan perubatan. Ketamin dan etomidat ialah ubat bius, manakala fentanil ialah opioid kuat untuk melegakan kesakitan dan digunakan dalam pembiusan.
Apabila disalahgunakan, ketamin boleh menyebabkan halusinasi dan hilang koordinasi; penggunaan berulang turut menjejaskan pundi kencing. Etomidat boleh menyebabkan pergerakan otot tidak terkawal, sawan dan gangguan penghasilan hormon adrenal. Fentanil pula boleh menekan pernafasan sehingga membawa maut.
Kanabinoid sintetik ialah kumpulan bahan buatan yang bertindak pada sistem kanabinoid otak. Bahan terlarang ini boleh mencetuskan halusinasi, psikosis, sawan serta gangguan jantung dan buah pinggang.
Dua lagi bahan yang dikesan dalam kes Nilai juga perlu difahami. Benzodiazepin ialah ubat penenang yang digunakan untuk merawat kebimbangan dan masalah tidur.
Tanpa pengawasan doktor, terutama apabila dicampur dengan bahan lain, ia boleh menyebabkan mengantuk melampau, kekeliruan dan pernafasan menjadi perlahan.
THC pula ialah bahan psikoaktif utama dalam ganja. Ia boleh menjejaskan ingatan, tumpuan dan koordinasi, dan pada sesetengah remaja mencetuskan kebimbangan melampau atau paranoia. Gabungan beberapa bahan sekali gus menambah risiko keracunan.
Dalam rawatan perubatan, dos dan keadaan pesakit dipantau. Sebaliknya, pengguna cecair vape daripada sumber tidak diketahui mungkin menyedut bahan atau campuran yang tidak dikenalinya.
Ketidakpastian kandungan dan dos inilah yang menambah risiko keracunan serta terlebih dos.
Tempat tinggal juga bukan jaminan anak terhindar daripada pendedahan. Tawaran melalui media sosial dan pergaulan boleh sampai kepada mereka di pelbagai lokasi.
Walaupun anak berada di rumah atau tinggal di kawasan yang dirasakan selamat, ibu bapa masih perlu mengambil tahu tentang kegiatan, pergaulan dan perubahan pada diri mereka.
Usaha ini boleh dimulakan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk, masjid, surau dan rumah ibadat yang sudah mempunyai hubungan dengan keluarga setempat.
Mesyuarat dan kegiatan berkala mereka menyediakan ruang untuk membincangkan penyalahgunaan dadah dan bahan tanpa perlu menunggu kempen baharu daripada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan.
PIBG, misalnya, boleh memasukkan isu ini sebagai agenda tetap mesyuarat dan aktiviti. Perbincangan perlu menjawab keperluan ibu bapa: mengenali bahan yang sedang beredar, memahami kesannya dan mengetahui tempat mendapatkan bantuan.
Maklumat daripada sumber berautoriti boleh dikongsi melalui saluran PIBG, sementara kaunselor sekolah membantu menjelaskan proses rujukan apabila timbul kebimbangan tentang anak.
Persatuan penduduk pula boleh membawa perbincangan ini ke peringkat kejiranan. Anak muda perlu dilibatkan supaya kegiatan yang dirancang mengambil kira pengalaman dan keperluan mereka.
Pandangan mereka juga boleh membantu orang dewasa memahami bagaimana produk ditawarkan dan perkara yang mendorong seseorang untuk mencuba.
Masjid, surau dan rumah ibadat boleh menyampaikan pendidikan melalui kegiatan sedia ada serta membantu keluarga mendapatkan sokongan.
Keluarga yang menghadapi masalah memerlukan ruang untuk meminta pertolongan tanpa takut dimalukan. Kerahsiaan perlu dijaga supaya kebimbangan tentang anak dapat dibincangkan lebih awal, sebelum keadaan menjadi semakin sukar.
Keluarga juga perlu tahu bahawa bantuan boleh didapati tanpa menunggu anak ditahan.
Sejak pindaan undang-undang berkaitan rawatan dan pemulihan penagih dadah berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025, individu boleh tampil secara sukarela ke AADK untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu melalui proses perundangan.
Menurut AADK, seramai 547 individu tampil secara sukarela pada 2025, meningkat berbanding 441 orang pada 2024. Laluan ini memberi ruang kepada keluarga untuk mendapatkan bantuan lebih awal.
Di rumah, ibu bapa boleh membuka perbualan tentang vape tanpa menunggu timbul masalah. Tanya apa yang anak tahu, sama ada pernah ditawarkan untuk mencuba dan bagaimana dia akan membantu jika rakannya tiba-tiba khayal atau rebah.
Beri ruang untuk mereka bercerita terlebih dahulu tanpa segera dimarahi. Melalui perbualan sebegini, ibu bapa dapat memahami pengalaman dan pergaulan anak dengan lebih baik.
Penggunaan awal boleh bermula dengan sikap ingin tahu, sekadar mencuba, terpengaruh oleh rakan atau keinginan untuk kelihatan ‘dewasa’.
Remaja sedang membentuk identiti dan mencari penerimaan dalam kelompok sebaya. Proses ini sebahagian daripada perkembangan mereka, tetapi boleh membuka ruang kepada keputusan berisiko.
Walaupun percubaan tidak semestinya membawa kepada ketagihan, penggunaan kali pertama tetap boleh menyebabkan keracunan, terutama apabila kandungan dan dos bahan tidak diketahui.
Sebab itu, perbualan dan bimbingan perlu bermula sebelum anak mencuba.
Ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan pola tidur, emosi, perbelanjaan dan prestasi pembelajaran anak. Perubahan ini mungkin berpunca daripada pelbagai masalah dan tidak semestinya berkaitan dengan dadah.
Berbual dengan anak untuk memahami keadaannya, dan dapatkan penilaian profesional sekiranya perubahan itu berterusan atau membimbangkan.
Jika anak atau sesiapa sahaja mengalami sawan, sukar dikejutkan atau mengalami kesukaran bernafas selepas disyaki mengambil sesuatu bahan, hubungi 999 segera.
Keselamatan nyawa perlu diutamakan, walaupun keluarga mungkin bimbang akan pandangan orang lain.
Untuk pertanyaan dan khidmat nasihat berkaitan dadah, talian Hello AADK boleh dihubungi di 1-800-22-2235 atau WhatsApp 019-626 2233 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
Keprihatinan terhadap anak sendiri perlu diperluas menjadi kepedulian terhadap anak-anak dalam komuniti.
PIBG, persatuan penduduk dan rumah ibadat boleh membantu keluarga memperoleh maklumat yang sahih serta mendapatkan sokongan apabila diperlukan.
Mulakan dengan memasukkan isu ini dalam mesyuarat dan kegiatan yang sudah dirancang. Tindakan awal masyarakat tidak perlu menunggu sehingga ada keluarga yang terjejas. - FMT
Penulis ialah timbalan dekan (penyelidikan dan inovasi) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.