Suspek lelaki berusia 38 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perniagaan, pemilikan dan kebenaran menyimpan yang sah bagi bekalan ayam sejuk beku berkenaan.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan dalam Ops Salju Mega di sebuah premis di Jalan Pasir Puteh, Kampung Pasir Tumboh, kira-kira 12 tengah hari semalam.
Menurutnya, lelaki itu turut mendakwa bekalan ayam sejuk beku itu dibawa masuk ke negara ini secara sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sebelum dipasarkan di kedai borongnya.
“Susulan pemeriksaan yang dijalankan, pasukan operasi menemui 209 kotak ayam sejuk beku seberat 2,508kg bernilai RM42,845 yang disimpan dalam sebuah kontena sejuk beku di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, serbuan dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 8 PGA dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Jelasnya, lelaki itu gagal mengemukakan dokumen perniagaan, pemilikan dan kebenaran menyimpan yang sah bagi bekalan ayam sejuk beku berkenaan.
Justeru, MPKB-BRI mengeluarkan notis kesalahan serta tawaran kompaun kepada lelaki itu kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, selain kesalahan membuang kekotoran di tempat awam.
Katanya, lelaki itu bersama barang rampasan diserahkan kepada MPKB-BRI untuk tindakan lanjut, manakala dokumen berkaitan turut dipanjangkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan.
Menurutnya, perniagaan tanpa lesen bukan saja menyukarkan pemantauan pihak berkuasa, malah berpotensi menyebabkan ketirisan hasil kerajaan negeri melalui kehilangan kutipan fi lesen dan bayaran berkaitan.
“Keadaan ini juga boleh mewujudkan persaingan tidak adil kepada peniaga yang mematuhi peraturan, selain menjejaskan keberkesanan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan,” katanya sambil menambah pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kegiatan perniagaan mematuhi syarat pelesenan serta tidak menjejaskan kebersihan, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.