Kerajaan Myanmar berharap penghantaran rakyatnya untuk bekerja di Malaysia boleh dimulakan bulan depan.
PETALING JAYA: Myanmar membatalkan larangan rakyatnya bekerja di Malaysia yang dilaksanakan sejak Disember 2016.
Akhbar Myanmar Times memetik Menteri Buruh, Migrasi dan Imigresen, U Thein Swe sebagai berkata, langkah itu dapat mengurangkan jumlah rakyatnya yang menggunakan visa pelancong untuk bekerja di Malaysia.
“Kami akan menghantar pekerja semula selepas meneliti permohonan pekerjaan berdasarkan prosedur. Kami berharap dapat menghantar pekerja (ke Malaysia) mulai bulan depan.”
Statistik terbaru Kementerian Buruh, Migrasi dan Imigresen Myanmar menunjukkan 400,000 hingga 500,000 rakyatnya bekerja di Malaysia, di mana 200,000 daripada jumlah itu mempunyai dokumen sah.
Akhbar itu memetik U Kyaw Htin Kyaw, pemilik sebuah agensi pekerjaan yang menghantar rakyatnya ke Malaysia berkata, berita itu akan menggembirakan ramai majikan dan agensi pekerjaan di negara ini yang kekurangan satu sumber tenaga kerja sejak lebih setahun lalu.
Myanmar melarang penghantaran rakyatnya ke Malaysia sejak 6 Disember 2016 susulan ketegangan hubungan antara Putrajaya dan Naypyidaw, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengecam Aung San Suu Kyi membenarkan “pemusnahan bangsa” dalam Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Kuala Lumpur, pada 4 Disember 2016.
Isu itu bertambah teruk apabila pekerja Myanmar yang tinggal di Malaysia menjadi mangsa serangan penduduk tempatan untuk membalas dendam terhadap kekejaman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya di Rakhine. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.