`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 8, 2018

PAKATAN HARAPAN JANA GELOMBANG RAKYAT

DALAM tampalan di dinding Facebook saya semalam, saya menulis: “Di Konvensyen Pakatan Harapan 2018. Calon PM: Dr Mahathir Mohamad. Calon TPM: Dr Wan Azizah Wan Ismail.”
 
Pakatan Harapan janji perubahan
Suara penghebah, ((Datuk) Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH)) tenggelam apabila dewan persidangan IDCC, Shah Alam, meledak dengan sorak rosai dan tepukan gemuruh perwakilan disertai dengan asakan para jurugambar media untuk merakamkan “the best shot of the occasion”.
[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menitiskan air mata sambil didakap oleh Dr Wan Azizah. Tetapi bukan Dr Siti Hasmah seorang yang menitiskan air mata. Ramai yang turut dilanda emosi dan mengalirkan air mata gembira.
Yang tidak gembira adalah Umno dan Barisan Nasional serta alat-alat propaganda mereka.
Maka tidak hairanlah apabila seorang laskar siber mereka pantas menjawab tampalan saya dengan komen: “Apa fasal tidak pilih Dr Chen Man Hin sebagai DPM ll? Umur dia dalam band umur PM pasca PH menang majoriti PRUXIV nanti.”
Bukan dia sahaja malah keseluruhan gerombolannya – daripada yang duduk “berwassap” di warung tepi longkang sambil minum kopi murah hingga yang duduk di kerusi empuk cigar bar sambil menghisap cerut Cohiba buatan Cuba yang amat mahal harganya – pasti kecewa dengan perkembangan itu.
Walaupun mereka melambakkan sosial media dengan caci maki dan carta warna-warni memuji kehebatan Umno-Barisan Nasional, realitinya mereka dilanda ketakutan yang amat sangat.
Mereka menggeletar dan boleh jadi ada anggota badan mereka yang kecut ibarat lelaki gagah yang tiba-tiba diserang sindrom koro. Sesiapa yang berminat mengenai sindrom koro boleh baca di sini.
Dua Doktor Dalam Parti
Gandingan dua orang doktor perubatan itu bererti penjelmaan semula – selepas hampir 20 tahun – gabungan luar biasa Mahathir-Anwar Ibrahim.
Sebagai seorang yang bernasib baik (atau buruk) berada dalam kedua-dua era itu (1982-1988 dan sekarang), saya rasa saya cukup faham dengan sentimen yang melanda Umno-BN dan rakan pilihan raya mereka, Parti Islam se-Malaysia (PAS) berikutan Konvensyen PH itu.
Presiden Umno merangkap Pengerusi BN dan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak pasti lebih daripada sedar implikasi gabungan itu kerana beliau sendiri adalah serpihan era gemilang Mahathir-Anwar.
Saya berada dalam sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri lama di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur apabila Dr Mahathir memperkenalkan Anwar sebagai “the newest member of Umno” (ahli terbaharu Umno) pada awal tahun 1982.
 
1982: Sidang akhbar penyertaan Anwas dalam Umno
Saya berada di Rumah Sabah, Jalan Ampang pada malam pilihan raya umum 1982 – PRU sulung Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri – apabila beliau menyifatkan kejayaan Anwar merampas Permatang Pauh daripada PAS sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat tetapi sudah diterima rakyat.
Malangnya, saya juga berada di situ apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998. Seboleh-bolehnya Dr Mahathir tidak mahu memecat Anwar. Tetapi dalam kepanasan keadaan pada waktu itu, banyak perkara yang sepatutnya berlaku tidak berlaku dan yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku.
Sedikit sebanyak saya terperangkap dalam peristiwa itu atas kapasiti saya sebagai Pengarang Kumpulan akhbar-akhbar berbahasa Inggeris Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) dan “empat budak Melayu” yang terlibat membuat pembelian pengurusan (management buy-out/MBO) ke atas NSTP.
Pada tahun 2000 saya meletak jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP kerana saya merasakan bahawa “tuntutan” oleh sebahagian kepemimpinan Umno mengenai cara menangani “isu Anwar” adalah di luar kemampuan saya untuk melaksanakannya tanpa mengorbankan idealisme dan etika kewartawanan.
Janji perpisahan saya kepada Dr Mahathir apabila saya memaklumkan kepada beliau keputusan saya untuk meletak jawatan adalah “we shall remain friends” (kita akan kekal bersahabat).
Saya juga berada di situ apabila Anwar dibebaskan daripada penjara pada tahun 2004 atas keputusan mahkamah. Saya mengunjungi beliau pada sebelah petang hari beliau dibebaskan dan menulis sebuah rencana dalam majalah Business Times mengatakan bahawa ini bukan kali terakhir kita melihat Anwar.
Tetapi apa yang berlaku semalam adalah lebih daripada “sequel” kepada apa yang selama ini saya labelkan sebagai “cinta lara Mahathir-Anwar.”
Ia pastinya bukan mengenai Dr Mahathir dan Anwar semata-mata. Bukan nostalgia tentang hari-hari yang telah berlalu apatah lagi kerana gilakan kuasa. Dan tidak sekali-kali kerana cemburukan Najib yang merah bibirnya dan mewah hidupnya.
Ia adalah kemuncak kepada satu siri percambahan minda, tolak ansur dan pengorbanan yang melibatkan banyak pihak – daripada kalangan politik kepada badan-badan bukan kerajaan, cendekiawan dan seorang ilmuwan buta yang dalam kegelapan dunianya percaya wajib ada cahaya di hujung terowong.
Semua itu atas landasan dan kesedaran bahawa Malaysia dan rakyat jelatanya perlu diselamatkan daripada pemerintahan oleh pencuri (kleptokrasi) yang sedang memufliskan negara dan menjadikan Malaysia negara paria.
Pakatan Harapan adalah jawapan mutakhir kepada segala percubaan yang sebelum ini menemui jalan buntu – daripada usaha mengubah dari dalam kepada titah Raja-raja Melayu, undi tidak percaya dan akhir sekali Deklarasi Rakyat oleh lebih sejuta peserta yang semuanya dibakulsampahkan oleh Kleptokrat MO1 dan konco-konconya.
Malah melihat kepada apa yang telah dan sedang dilakukan oleh kleptokrat – daripada melacurkan institusi pentadbiran kepada menjual dan menggadaikan harta negara, membebankan rakyat jelata dengan hutang dan cukai, menyogok peneroka Felda dan orang kampung dengan dedak sambil merompak harta yang diamanahkan untuk mereka, tidur sebantal dengan Parti Komunis China dan menafikan kuasa Parlimen membincangkan skandal 1MDB – kalau BN menang juga, samalah dengan kita mengucapkan selamat jalan kepada Malaysia negara tercinta.
Tanah Semenanjung yang dibaratkan sebagai permata nilam oleh seniman aktivis Aishah dalam dendangannya di konvensyen semalam akan menjadi permata kaca murahan yang berkecai di lantai menunggu untuk melukakan kaki anak-anak kecil yang bermain bunga api.
Justeru itu, pilihan raya kali ini adalah pertarungan rakyat jelata yang tertindas melawan kleptokrasi Umno-BN yang menindas.
PH hanyalah pemudah cara bagi rakyat jelata yang pedulikan hari ini dan masa depan mereka, anak mereka dan cucu-cicit mereka untuk melakukan perubahan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.