11 remaja berusia 11 hingga 16 tahun ditahan kerana mengubah suai basikal tidak memiliki brek dan loceng serta menunggang secara berbahaya.
KUALA LUMPUR: Gara-gara mengubah suai dan menunggang basikal secara berbahaya, 11 remaja lelaki ditahan polis di Taman Semenyih Mewah, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata dalam kejadian pada 5.30 petang itu, semua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 11 hingga 16 tahun dan polis turut merampas 11 basikal milik mereka.
Beliau berkata polis menerima maklumat awam wujudnya aktiviti basikal lajak di taman berkenaan sebelum mengambil tindakan kepada remaja yang terlibat.
“Susulan itu, polis mengeluarkan 11 saman atas kesalahan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana mengubah suai basikal yang tidak memiliki brek dan loceng.
“Tangkapan dan sitaan basikal dibuat mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya dalam kenyataan. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.