Yang berikut ini diambil 100% daripada Blog Autakring. Ini link dia
Bukan saya tulis ok. Jangan marah saya. Siapa minat boleh baca dan menilainya. Siapa tak minat jangan baca lah.
Primum Non Nocere
Bagi mereka mereka yang terpinga pinga apakah maksud tajuk saya kali ini, saya akan memberi sedikit pencerahan. Bagi kaum wanita yang gemar membeli lepas tu blah, Primum Non Nocere tidaklah merujuk kepada outlet shopping terbaru dan terhangat , yakni Genting Highlands Premium Outlet, tetapi kepada prinsip utama amalan Perubatan Moden, yang tidak merangkumi amalan perubatan Bomoh kelapa atau rakan seperjuangannya.
Maaf, saya tidak terjumpa link Wikipedia dalam Bahasa Melayu untuk menghuraikan maksud Primum Non Nocere. Biasalah, kita Melayu ni rajin buat anak jer. Tak cukup satu sumber, halalkan dari 4 sumber (sunah konon, sedangkan Quran kata lain).
Pada dasarnya “Primum non nocere” (tekan SINI untuk maksudnya) membawa maksud, “Pertamanya, jangan buat keburukan/kerosakan” (Dalam Bahasa kurang Baku – “Yang pertama tama sekali, toksah dok buat taik” atau dalam Bahasa ketiga jauhnya dari Bahasa Syurga, “First, Do No Harm”. Ya lah. Sekiranya seorang doktor ingin mengkhatan seorang budak lelaki umpamnya, peringatan utama di mindanya seharusnya tidak terpotong terus keseluruhan zakar tersebut. Ini kes yang lagi parah dari “Nasi telah menjadi bubur” kerana bubur sekurang kurangnya, boleh lagi di makan.
Saya amat kagum dengan pendirian Director General (panggilan timang timangannya ialah “DG”) Kementerian Kesihatan Malaysia kerana engkar tunduk kepada tekanan yang lebih mudarat dari tekanan darah (atau dengan telo Samy Velu – Tekanan Dara ), yakni tekanan Ugama dari puak puak Otakkring yang dilantik menjadi Auta-riti.
Saya amat kagum kerana beliau berani untuk menentang arus lintang pemikiran geng geng Otak/Auta-kring. Sila tekan SINI untuk baca keterangan DG. . Memanglah para para doktor ni cerdik pandai kaumnya. Tapi ada dikalangan cerdik pandai yang apabila berhadapan dengan persoalan keugamaan, almaka terdapat satu butang automatik dimana ianya terpetik dan keseluruhan organ yang dikatakan “Otak“ akan diambilalih sejurusnya akan berfungsi secara Auta-Pilot oleh kaum kaum Auta-riti.
Tahniah DG!
Mari kita kaji Quran. Benarkah di dalam Quran terdapat surah/ayat untuk menjatuhkan hukuman potong tangan kepada pencuri.
Cuma terdapat satu sahaja surah : ayat di dalam Quran yang “terang terang“ menjatuhkan hukuman potong tangan kepada pencuri. Atau…. Ya kaaaa?
Mari kita tinjau.
Surah Maidah Ayat 38 (5:38)
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka potonglah (فَاقْطَعُو )tangan (أَيْدِيَهُمَا )mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Perkataan “فَاقْطَعُو ” mempunyai huruf akar “qaf, ta dan ‘ain ” .
Perkataan perkataan dalam keseluruhan Quran yang berasaskan kata dasar “qaf, ta dan ‘ain” ini berjumlah 36 kali. Hampir keseluruhan perkataan yang berasaskan perkataan bentuk “perbuatan QaTa’A” ini adalah merujuk kepada kiasan “pemotongan” yakni “untuk memotong silaturahim” atau “mengakhiri sesuatu perbuatan”. Terdapat kedua kalinya ia membawa maksud “memotong secara fizikal” yakni didalam surah 12:31 dan juga 12:50. Satu lagi surah mungkin melibatkan pemotongan secara fizikal ialah surah 69:46.
Contoh “perbuatan QaTa’A merujuk kepada kiasan pemotongan dan bukan pemotongan secara fizikal:
Surah Muhammad 47:15
“Perumpamaan Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur/cut to pieces (فَقَطَّعَ)?
Sila ambil perhatian. Ayat ini dimulakan dengan perkataan “Perumpamaan”. Maka ayat “menjadikan isi perut mereka hancur/cut to pieces” adalah juga berbentuk perumpamaan. Dan air tidak akan dapat “memotong” isi perut sehingga hancur” tetapi dapat menghancurkan terus isi perut.
Kembali kita kepada 2 ayat yang “terang terang” menterjemah “perbuatan/verb QaTa’A” sebagai “pemotongan secara fizikal”.
Mari kita lihat surah surah ini:
Surah Yusuf Ayat 31 (12:31)
“Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”
Dan surah Yusuf Ayat 50 (12:50)
“Dan berkatalah raja Mesir:” Bawalah dia kepadaku! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: “Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka”.”
Kedua dua surah di atas adalah merujuk kepada cerita perempuan perempuan yang tersentap ovari mereka lalu terhiris jari jemari mereka apabila berhadapan dengan Nabi Yusuf yang memang terkenal dengan kehemsemannya. Dari segi mekanisma kecederaan, tiada di dalam rekod perubatan sesiapa terpotong jari secara keseluruhan apabila memotong bawang. Memotong daging menggunakan chopper, mungkin, tetapi tiada sejarah resepi yang menggunakan chopper untuk menghiris bawang. Maka, dari kedua dua ayat tersebut, nyata bahawa walaupun “perbuatan QaTa’A” merujuk kepada pemotongan secara fizikal, ianya tidaklah brutal sehinggakan memutuskan terus jari jemari wanita wanita yang pada ketika itu lemas di dalam lonjakan hormon estrogen mereka sendiri.
Jika kita ambil konteks ini, maka agak kabur makna memotong tangan pencuri, kerana kita boleh membahaskan bahawa pencuri mungkin boleh dihiris tangannya, dan tidak terus dipotong.
Kemudian, mari kita mengkaji satu lagi surah:
(Al-Haaqqah 69:40)
Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia.
(Al-Haaqqah 69:41)
Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman.
(Al-Haaqqah 69:42)
Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.
(Al-Haaqqah 69:43)
Quran diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
(Al-Haaqqah 69:44)
Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan, –
(Al-Haaqqah 69:45)
Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, –
(Al-Haaqqah 69:46)
Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya
Dari segi sains, satu organ dalam badan manusia bisa mati apabila bekalan Oksigen dan nutrien diputuskan dari mana mana tisu atau organ. Ini termasuk jantung, dan apabila jantung berhenti berfungsi, maka kematian mungkin berlaku. Allah tidak perlu menghantar malaikat dsb untuk memotong saluran jantung, yang kini kita kenali sebagai arteri untuk menentukan Muhammad mati. Allah cuma , dari segi logik sains, memecahkan, umpamanya Plak plak kolestrol yang terbenam di dalam saluran darah secara spontan, menyebabkan tersumbatnya saluran arteri, lantas “memotong” bekalan oksigen dan nutrient yang menyebabkan kematian sel sel jantung. Apabila ini berlaku, kita menghadapi serangan sakit jantung.
Bagi mereka mereka yang telah membaca Quran secara keseluruhan, adakah anda 100% yakin kini bahawa pencuri harus dipotong tangannya?
Jika “Ya”, apa pendapat anda pula dengan ayat ayat berikut:
(Az-Zumar 39:18)
“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya , mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”
(Az-Zumar 39:55)
“Dan turutlah sebaik-baik yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.”
Soalan Cepumas:
Apakah perlu atau tepat sekali pemilihan perkataan “QaTa’A” diterjemahkan/diinterpritasikan sebagai “memotong tangan” pencuri, sedangkan terdapat alternatif terjemahan yang lain? Adakah “pemotongan tangan secara fizikal” merupakan “pemilihan dan penurutan sebaik baiknya” sebagaimana yang disaran Allah ?
Contoh alternative lain selain dari memotong tangan secara fizikal ;
Kita menterjemah “memotong tangan” sebagai “memutuskan sumber mata pencarian dari tangan seseorang dengan mengambil darinya cara/kaedah beliau mencuri”.
Sekiranya seseorang itu menyelebab duit melalui penggunaan internet, mungkin diambil darinya kemudahan tersebut, mungkin dengan cara memasukkan beliau ke dalam penjara.
Tidakkah ini terjemahan yang lebih baik dan juga selaras dengan ayat ayat Allah yang lain seperti:
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
(Al-Nahl 16:126)
Bagaimana pula dengan ayat berikut?
Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu , maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat : bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
(Al-An’aam 6:54)
Tidakkah seseorang itu berhak menerima peluang untuk mempelajari dari dosanya melalui penyesalan lantas bertaubat? Perlukah seseorang itu kehilangan salah satu anggota badannya yang jika dipotong, tidak akan dapat digantikan, untuk diberi peluang menyesal atas perbuatannya dan bertaubat?
Bagi saya, jika kita mahu mencederakan seseorang tanpa memberi peluang mereka ini belajar dari kesalahan mereka, kemudian menyesal dan bertaubat, kita seharusnya tidak mempunyai setitik nila sekalipun kesangsian, bahawa terjemahan serta interpretasi yang dibuat atas ayat yang me”wajibkan” pemotongan tangan keatas pencuri. Adakah anda 100% pasti bahawa terjemahan tersebut adalah 100% betul? Kita perlu ingat, bahawa jika tidak, kita adalah merupakan kaum yang tidak menegakkan keadilan.
(Al-Israa’ 17:36)
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
Sebelum kita membakar bendera atau membawa gergaji ke Parliamen untuk memotong tangan sesetengah MP yang dikatakan terlibat dalam kes 1MDB , atau doktor doktor yang hilang kesabaran lalu membawa pisau bedah untuk memotong tangan penyangak penyangak MC (cuti sakit) yang dikira pencuri masa, mungkin lebih siuman sekirannya kita duduk dan mengkaji semula terjemahan Quran. Kita perlu benar benar yakin dengan “kepercayaan” kita sebelum kita menjualnya kepada orang lain, atau lagi tepat “menyusahkan orang lain” dengan “kepercayaan” yang ditanamkan kedalam kefahaman ugama kita sejak dari kecil tanpa menyoal kesahihannya. Kepercayaan yang datang dari proses pembuktian adalah lebih baik dari kepercayaan buta semata. Orang gila mungkin percaya bahawa dia seorang nabi, tetapi kepercayaannya hanya untuk syiok sendiri sahaja.
Kita perlu mengkaji secara mendalam, apakah ini yang dimahukan dan diajari oleh Allah SEBENARNYA, zat yang pengasih, penyayang lagi pengampun. Dimanakah fungsinya taubat jika kita tidak memberi ruang untuk penyesalan di hati ummah? “Tuhan” pagan sahaja di dalam sejarah manusia yang zalim dan tidak gemar kepada kemaafan serta gemar kepada kekuasaan serta perasaan ego dek kekuasaan tersebut.
Ketam, sebelum ajar anak berjalan, patut belajar dulu cara cara berjalan lurus. Jika tak pandai berjalan lurus sekali pun, harus belajar jalan di dalam satu sudut yang dikira secara matematik supaya masih lagi sampai ke destinasi yang ditentukan, walaupun dalam keadaan senget ketika berjalan. Kita harus kira semula berapa degree hala tujuan kita supaya sampai ke destinasi terulung, yakni “KEADILAN”. Tidak gitu, apa tujuan kita berugama?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.