`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 19, 2018

100 hari: Wanita, keluarga dihambat realiti masyarakat

Cabaran terbesar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat nampaknya mengemudi masyarakat yang rencam dari segi pendidikan dan pendapatan, capaian dan akses maklumat, kepercayaan dan budaya, bandar dan luar bandar.
PETALING JAYA: Perjalanan 100 hari pertama Malaysia Baharu menyaksikan cabaran terbesar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat nampaknya mengemudi masyarakat yang rencam dari segi pendidikan dan pendapatan, capaian dan akses maklumat, kepercayaan dan budaya, bandar dan luar bandar.
Kementerian bawah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan perdana menteri wanita pertama, berjaya meluluskan Program Sukarela Insentif Suri (Suri) di tengah-tengah bantahan kesatuan sekerja, dan menyerap kemarahan sekelompok masyarakat kerana tidak sanggup sampai mengharamkan sama sekali pernikahan bawah umur.
Untuk makluman pembaca, Pakatan Harapan memenangi 48.31% daripada keseluruhan undian pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, di mana wanita membentuk 50.58% pemilih atau 7,557,187 orang. Media melaporkan minimum 65% atau maksimum 73% pengundi Melayu bersama Barisan Nasional dan PAS.
Caruman khas wanita
Bermula 15 Ogos lepas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan ketua isi rumah, suri rumah, balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berdaftar dengan program e-Kasih sudah boleh mendaftar untuk fasa pertama skim Suri.
Fasa pertama skim Suri membolehkan caruman minimum RM5 setiap bulan bagi melayakkan mereka menerima RM40 setiap bulan daripada kerajaan, dengan manfaat sama seperti caruman biasa iaitu dividen tahunan, pengeluaran di usia 50, 55 dan 60, bantuan hilang upaya dan bantuan kematian.
Fasa kedua pula sumbangan RM10 daripada kerajaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan dijangka bermula tahun depan, manakala fasa ketiga, yang mengambil 2% daripada caruman KWSP suami untuk dimasukkan ke akaun isteri, dijangka bermula 2020.
Laporan awal mengatakan potongan 2% itu mengambil dari gaji suami lalu mengundang bantahan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Setiausaha Agung J Solomon berkata secara asasnya gaji milik peribadi maka kerajaan tidak berhak menggunakan undang-undang untuk memotong gaji seseorang untuk dicarumkan atas nama orang lain.
Media juga melaporkan sumbangan kerajaan bukan untuk semua isteri. Pada Julai, Bernama memetik Wan Azizah sebagai berkata ia hanya untuk isteri pertama sahaja dan tidak dilanjutkan kepada isteri-isteri lain dalam perkahwinan poligami.
Poligami amat sensitif dalam kalangan wanita walaupun ia dibenarkan dalam Islam.
Nikah bawah umur
Pada Julai, Putrajaya mengumumkan ia bakal memperkenalkan tatacara operasi standard lebih ketat kepada mahkamah untuk perkahwinan bawah usia 18 tahun minggu depan, susulan kontroversi pernikahan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, anak kepada 2 warga Thailand, kepada seorang lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun.
Melalui SOP baru itu perkahwinan bawah umur perlu mendapatkan keizinan mahkamah dan menteri besar atau ketua menteri, serta pemohon perlu melalui pemeriksaan kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengecam langkah itu kerana ia masih mengekalkan perkahwinan kanak-kanak. Pengerusi Tan Sri Razali Ismail berkata kementerian nampaknya gagal mengenalpasti akibat perkahwinan kanak-kanak walaupun apa-apa perbuatan, termasuk amalan agama, tertakluk kepada Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 11(5) tidak membenarkan “sebarang perbuatan yang bertentangan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau moral.”
“Ini bererti bahawa dengan kehendak politik, hukuman boleh dikenakan terhadap perkahwinan kanak-kanak dalam semua peringkat di negara ini,” katanya.
Semalam, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) semasa melancarkan kempen #EndChildMarriage menyorot perhatian kepada 988 permohonan untuk perkahwinan bawah umur daripada orang bukan Islam pada 2017 dan 877 permohonan daripada orang Islam dalam tempoh 2 tahun lalu.
Pada Julai, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilapor berkata dia “secara peribadi” tidak bersetuju dengan usaha mengharamkan perkahwinan bawah umur, “sebab dari segi agama ia tidak salah, tetapi kita boleh mengawal.” -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.