`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 10, 2018

Halang pegawai jalan tugas, KPDNHEP buat laporan polis

Sejurus mengesan kesalahan, kedua-dua peniaga enggan memberi kerjasama kepada anggota KPDNHEP dan terus menghamburkan kata-kata kesat.
Dari Januari tahun ini, KPDNHEP negeri merekodkan 90 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan kompaun dikenakan berjumlah RM31,900. (Gambar Bernama)
NILAI: Berikutan anggotanya dihalang peniaga ketika menjalankan tugas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan membuat 2 laporan polis berhubung kejadian itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu terbabit.
Dalam 2 kejadian berasingan di Jalan Pantai, Jelebu dan Senawang itu pada bulan lepas, anggota KPDNHEP telah melakukan pemeriksaan harga di 2 kedai runcit berkenaan dan mendapati masing-masing melakukan kesalahan berkaitan tanda harga dan tidak memiliki lesen menjual barang kawalan.
Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman berkata sejurus mengesan kesalahan itu, kedua-dua peniaga itu enggan memberikan kerjasama kepada anggota KPDNHEP yang mahu mengambil tindakan terhadap mereka dan terus menghamburkan kata-kata kesat.
“Kedua-dua peniaga lelaki itu cuba melakukan provokasi dan menghamburkan kata-kata kesat serta memaki hamun pegawai kami,” katanya pada sidang media selepas menjalankan pemeriksaan harga barangan di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Program disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.
Mengulas lanjut, Ain Arjuna berkata, kedua-dua laporan itu dibuat secara berasingan di Balai Polis Pantai dan Senawang dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Veerapan berkata, para peniaga seharusnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan apabila dikesan melakukan kesalahan, mereka harus akur dan bukannya bertindak di luar kawalan.
Mengenai lawatan bagi meninjau penggunaan tanda harga, menyemak harga dan penggunaan alat sukat selepas penurunan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Veerapan berkata hasil pemeriksaan di pasar raya itu tidak mengesan sebarang kesalahan.
“Bagaimanapun di lokasi lain masih terdapat segelintir peniaga yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Jadi dalam usaha melindungi pengguna di negeri ini, pihaknya membuat pemantauan terhadap sektor pemborongan dan peruncitan setiap hari bagi memastikan harga tidak dinaikkan.
Katanya dari Januari hingga hari ini, KPDNHEP negeri merekodkan 90 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan kompaun dikenakan berjumlah RM31,900.
Bagi Akta Timbang Sukat 1972, sebanyak 109 kes direkodkan dengan kompaun dikenakan mencecah RM24,000, katanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.