`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 21, 2018

Parti Putra masuk gelanggang

Di manakah kedudukan Putra dalam barisan parti Melayu Semenanjung? Adakah Putra akan menyertai PH atau BN?
KOMEN
Oleh Zin Mahmud
Jumaat lalu, tiba-tiba landskap Semenanjung Malaysia dikejutkan dengan berita penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang diasaskan Datuk Ibrahim Ali, seorang ahli politik yang kerjayanya penuh berwarna-warni sejak 1970-an.
Sehari sebelum itu, ada seorang individu bertanya kepada penulis di manakah Ibrahim berada dan apakah keadaannya kerana dirasakan sudah lama tidak kedengaran berita mengenainya.
Kali terakhir ialah 16 Mei lalu apabila Ibrahim dilaporkan meletak jawatan sebagai presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) kerana kecewa orang Melayu tidak menyokong perjuangannya.
Dalam pilihan raya 9 Mei lalu, beliau hilang wang pertaruhan apabila kalah di kawasan Parlimen Pasir Mas. Di kawasan itu, PAS menang besar mengalahkan Barisan Nasional (BN). Calon Pakatan Harapan (PH) juga hilang wang pertaruhan. Beliau juga bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Tendong.
Ibrahim bertanding sebagai calon bebas, selaras keputusan Perkasa untuk menyertai pilihan raya umum ke-14 lalu. Perkasa ditubuhkan selepas pilihan raya 2008 untuk memperjuangkan isu-isu Melayu dan bersikap berkecuali dengan kedua-dua PH dan BN.
Beliau bertanding di Pasir Mas dalam semua pilihan raya umum sejak 1986. Pada tahun itu, beliau menang atas tiket BN. Ibrahim menang sekali lagi pada 1990 bagi pihak Angkatan Perpaduan Ummah.
Beliau kalah pada 1995 dan 1999 sebagai calon BN. Ibrahim juga kalah pada 2004, tetapi sebagai calon bebas.
Namun, beliau menang pada pilihan raya 2008 apabila bertanding atas sokongan PAS yang tidak meletak calonnya di situ. Tetapi, sekali lagi beliau kalah sebagai calon bebas pada pilihan raya 2013.
Pengumuman penubuhan Putra dibuat sehari selepas 100 hari kerajaan PH mentadbir negara. Permohonan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dibuat pada 13 Ogos lalu.
Tanjak merah di atas latar belakang kuning menjadi logonya. Ini bererti kuning adalah warna partinya. Warna sama yang pernah digunakan parti lamanya, Semangat 46.
Dengan JPPM di bawah kerajaan PH yang mendokong nilai-nilai dan amalan demokrasi, maka dijangkakan Putra tidak menghadapi masalah pendaftaran.
Tetapi, sama ada singkatan nama Putra itu akan diluluskan atau tidak, ia pula tidak dapat dijangka. Ini kerana, dalam nama parti itu tidak disebut perkataan Putra, walaupun ia boleh dikaitkan dengan perkataan Bumiputera.
Pada masa ini, Putra lebih dirujuk kepada Tunku Abdul Rahman Putra, Bapa Kemerdekaan, seperti mana ia digunakan untuk nama Putrajaya. Ia tidak mahu menggunakan nama Parti Perkasa kerana mungkin mahu membezakannya dengan pertubuhan Perkasa itu.
Dalam sejarah negara, Putera pernah menjadi nama sebuah gabungan parti politik Melayu sebelum merdeka.
Ia adalah singkatan bagi Pusat Tenaga Rakyat yang menggabungkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin, Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS). Putera dipimpin Datuk Seri Dr Burhanuddin Al-Helmy yang kemudiannya mengetuai PAS.
Tetapi, tentulah Putra yang diasaskan Ibrahim berbeza dengan Putera pra-merdeka itu. Putra beraliran fahaman kanan, sedangkan Putera adalah gabungan parti-parti kiri.
Namun, Ibrahim sendiri ketika memulakan perjuangannya pada 1970-an bersama gerakan pelajar lain yang bangkit membela nasib rakyat melalui demonstrasi pada 3 Disember 1974. Kebangkitan itu lebih dipengaruhi gerakan kiri, bukannya kanan.
Pada masa itulah, penulis mula mengenalinya. Ketika itu, Ibrahim mengetuai Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM), sebaris dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia dan Presiden Majlis Belia Malaysia), Hishamuddin Rais (Ketua Kelab Sosialis dan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) dan Halim Arshat (Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia).
Selepas tamat pengajian, Anwar menubuhkan institut pendidikan swasta, Yayasan Anda Akademik, sementara Ibrahim mewujudkan Polisains Ibu Kota. Kedua-duanya mempunyai kecenderungan kepada PAS.
Tetapi, apabila berlaku krisis PAS pada 1977 sehingga menyebabkan ia terkeluar daripada BN, Ibrahim memihak kepada Datuk Muhammad Nasir dan menyertai partinya, iaitu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Parti itu menggantikan PAS untuk berada dalam BN. Ibrahim menjadi ketua Pemudanya. Tetapi, beliau kemudiannya menyertai Umno yang membolehkannya bertanding dan menang di Pasir Mas pada 1986.
Ketika berlaku persaingan antara Team A dan Team B, Ibrahim menyebelahi Tengku Razaleigh Hamzah sehingga menjadikannya salah seorang pemimpin utama dalam Semangat 46.
Ketika inilah penulis pernah berjumpa beliau yang meminta supaya dihujahkan kepada ahli-ahli PAS mengenai kepentingan kerjasama antara kedua-dua parti itu bagi menghadapi BN. Usaha ini membuahkan hasil hingga membawa kepada kemenangannya di Pasir Mas dalam pilihan raya 1990.
Namun setahun kemudian, beliau meninggalkan parti itu dan menyertai Umno Baru. Beliau meninggalkan Tengku Razaleigh dan berbaik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Sejak itu, dalam perbualan politik negara, beliau dipanggil “katak” kerana melompat parti.
Walaupun melompat atau berhijrah parti tidak asing dalam politik negara ini, maknanya kalau disenaraikan tokoh yang berubah parti, seseorang boleh membuat direktori untuknya, tetapi istilah “katak” lebih sering dirujuk kepada beliau berbanding ahli politik lain.
Mungkin ketika beliau melompat ke BN, ia terlalu mengecewakan penyokong pembangkang, terutamanya PAS. Namun, beberapa tahun kemudian, keseluruhan Semangat 46 melompat ke Umno Baru yang membolehkan perkataan “Baru” itu digugurkan.
Tetapi, dalam rekod politik Ibrahim, perjuangannya yang berlandaskan apa yang dipanggil Abata (agama, bangsa dan tanah air) tetap tidak berubah. Perbezaan antara Semangat 46 dan Umno, terutamanya terletak pada personaliti pemimpin masing-masing, bukannya idealisme perjuangan.
Ketika Anwar menjadi timbalan presiden Umno, Ibrahim mempunyai hubungan baik dengan tokoh yang diambil alih tempatnya, iaitu Tun Ghafar Baba. Beliau tidak menyertai kem Anwar. Jadi, apabila berlaku pergeseran antara Dr Mahathir dan Anwar, beliau memihak kepada presiden.
Semasa Umno di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau tidak dicalonkan bertanding dalam pilihan raya. Lantaran itu, beliau bertanding sebagai calon bebas dan kalah.
Tetapi, pada pilihan raya 2008, beliau mengubah strategi dengan bertanding selaku calon yang disokong PAS. Hasilnya, beliau menang – menunjukkan gabungan penyokong PAS dan penyokong Ibrahim dapat mengalahkan BN.
Namun, beberapa ketika selepas menang, beliau menimbulkan kemarahan penyokong PAS dengan melompat parti untuk menjadi wakil bebas yang menyokong Umno.
Pada pilihan raya 2008, beliau bertanding sebagai calon bebas dengan Umno tidak meletakkan calon di kawasan itu. Ibrahim kalah.
Selepas 2008, beliau menubuhkan Perkasa dan mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang bukan Melayu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir yang ketika itu sudah bersara, beberapa kali memenuhi undangan Ibrahim untuk bercakap di atas pentas Perkasa.
Namun, apabila PPBM ditubuhkan, Ibrahim tidak menyertainya, sebaliknya Ibrahim menentang PH dalam pilihan raya umum lalu.
Jadi, penubuhan Putra ini membolehkan Ibrahim dan penyokongnya menyertai pilihan raya tanpa perlu menggunakan tiket bebas.
Namun, di manakah kedudukan Putra dalam barisan parti Melayu Semenanjung? Adakah Putra akan menyertai PH atau BN?
Jika ia menampilkan diri sebagai parti Melayu kanan yang ekstrem, sudah tentu ia sukar bersama PH, pastinya DAP menolak.
Apabila melihat agenda Melayu yang diperjuangkan, ia seharusnya boleh diterima BN dan PAS. Tetapi, politik tidak bergerak seperti itu.
Jika Putra menunjukkan ia boleh berperanan dan berkesan serta mampu menarik pengundi, maka ia boleh muncul sebagai parti berpengaruh. Parti itu boleh bermain politik sehingga memperoleh kuasa.
Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.