`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 9, 2018

Sabah beri geran individu, mansuh geran komunal

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berkata pemberian geran individu akan dilaksanakan dalam tahun ini dengan menekankan beberapa pembaharuan bagi melindungi pemilik tanah.
Mohd Shafie berkata pemilik geran tanah individu tidak boleh mencagarkan geran tanah berkenaan kepada mana-mana pihak, termasuk institusi kewangan dan tidak boleh dipindah milik meskipun menerusi kuasa peguam. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan memansuhkan pemberian tanah menerusi geran komunal dan menggantikan mekanisme itu dengan pemberian geran individu bagi membolehkan rakyat di negeri ini memiliki tanah atas nama sendiri.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pemberian geran individu akan dilaksanakan dalam tahun ini dengan menekankan beberapa pembaharuan bagi melindungi pemilik tanah supaya mereka dapat memanfaatkan pemilikan itu dan tidak berdepan masalah tuntutan atau pertindihan pada masa depan.
Katanya antara perkara penting yang ditekankan dalam pelaksanaan itu ialah memastikan geran tanah diberi hak milik kepada penerima layak secara individu dan pengurusan tanah secara usaha sama tidak digalakkan.
“Namun, jika ada perjanjian usaha sama dilakukan pemilik tanah (geran komunal sebelum ini) ia boleh diteruskan tetapi perlu disusun semula kerana sebelum ini ia berdasarkan kumpulan tetapi (selepas ini) secara individu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri, semalam.
Mohd Shafie berkata pemilik geran tanah individu juga tidak boleh mencagarkan geran tanah berkenaan kepada mana-mana pihak, termasuk institusi kewangan dan tidak boleh dipindah milik meskipun menerusi kuasa peguam.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga akan menstrukturkan semula mana-mana kumpulan individu yang telah menerima geran komunal sebelum ini bagi membolehkan mereka mendapat geran tanah secara individu.
Sebanyak 96 geran komunal telah diserahkan kepada 13,789 penerima dari 271 kampung di 15 daerah seluruh Sabah melibatkan keluasan 152,268.23 ekar (61,620.766 hektar) sejak diperkenalkan pada 2010 oleh kerajaan negeri terdahulu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 45 geran komunal tanpa usaha sama dan 51 mempunyai usaha sama dengan 24 syarikat berkaitan kerajaan dan 27 syarikat swasta.
Pemansuhan pemberian tanah melalui geran komunal itu merupakan sebahagian daripada manifesto Parti Warisan Sabah pada pilihan raya umum ke-14 lepas bagi membolehkan rakyat memiliki geran tanah individu, bukan secara berkelompok. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.