`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 10, 2018

ZAHID HAMIDI LEBIH SAYANG NAJIB DARIPADA UMNO?

Walaupun sudah dua pemimpin kanan UMNO bersuara membangkitkan mengenai tidak perlunya lagi Najib Razak campurtangan dalam urusan parti, Presiden UMNO, Zahid Hamidi terlihat tetap membela belas Perdana Menteri yang setakat ini sudah berdepan dengan tujuh kes di mahkamah.
Pemimpin pertama yang bersuara ialah Johari Ghani, bekas Menteri Kewangan Kedua yang kini merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
Menurut Johari, Najib sudah pun menjadi sejarah dan tidak perlu lagi terlibat dalam kempen pilihanraya seperti di Sungai Kandis, baru-baru ini kerana kehadirannya terbukti tidak membantu UMNO untuk mencapai kemenangan.
Bagaimanapun, Zahid Hamidi segera menjawab kenyataan Johari itu dengan menyatakan Najib tidak harus dipulaukan semata-mata kerana beliau tidak lagi berkuasa sekarang ini.
Zahid Hamidi juga mengingatkan bahawa Najib adalah pemimpin yang banyak berjasa kepada parti dan negara sebelum ini.
Selepas Johari, Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa pula bersuara dengan menyifatkan Najib ketika ini adalah beban kepada parti berikutan tujuh pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya.
Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, untuk bergerak ke hadapan, UMNO perlu melupakan Najib kerana beban yang ada padanya tidak boleh lagi dipikul oleh parti.
Sekali lagi Zahid Hamidi bersuara mempertahankan Najib dengan berharap bekas Presiden UMNO itu tidak berkecil hati kerana dianggap sebagai beban kepada parti.
Selebihnya beliau berharap kepimpinan UMNO saling hormati-menghormati antara satu sama lain.
Dalam erti kata lain, daripada kedua-dua jawapan balas Zahid Hamidi terhadap kenyataan Johari dan Annuar, beliau terlihat lebih sayangkan Najib berbanding UMNO yang sedang diketuainya.
Tetapi selepas ini pasti akan muncul lagi beberapa pemimpin UMNO dengan nada suara yang sama seperti Johari dan Annuar.
Apakah reaksi Zahid Hamidi jika lebih ramai pemimpin UMNO mula tampil bersuara agar parti menjarakkan diri daripada Najib?
Zahid Hamidi sehingga ini  nampaknya sukar memisahkan dirinya daripada Najib dan bagaikan tiada upaya untuk menghindarkan diri daripada bekas Perdana Menteri yang menjadi punca utama UMNO dan BN hilang kuasa dalam pilihanraya umum yang lalu.
Walaupun kenyataan Johari dan Annuar boleh dikata sudah terlambat kerana mereka sepatutnya bersuara menolak Najib sebelum PRU14 lalu, tetapi Zahid Hamidi ternyata lebih terkebelakang dengan pendiriannya ingin terus membela dan mempertahankan Najib.
Zahid seharusnya sedar tanggungjawabnya kini ialah memulihkan UMNO dan bukan lagi menjaga atau membela Najib. Najib sudah meletakkan jawatan dan hanya merupakan ahli biasa saja sekarang ini.
Jika Najib sebagai biasa parti mahu terus dipertahankan, bagaimana dengan ahli UMNO lain yang juga berhadapan dengan macam-macam pertuduhan atas pelbagai kesalahan di mahkamah?
Kenapa tidak ditunjukkan pembelaan terhadap mereka?
Selain daripada itu, dengan pendirian Zahid Hamidi ingin terus membela Najib, beliau pasti akan berdepan kesukaran untuk memulihkan UMNO mendapat keyakinan semula daripada rakyat.
Jika Khairy Jamaluddin atau Tengku Razaleigh yang mengetuai UMNO ketika ini, sudah pasti mereka tidak akan membuang masa memikul beban yang ditinggalkan Najib selama ini.
Rakyat pada hakikatnya sudah menolak Najib dan tindakan terus mempertahankannya lagi hanya akan menyebabkan UMNO terpinggir lebih lama daripada sokongan yang sepatutnya.
Zahid Hamidi juga tiada pilihan sebenarnya – lupakan Najib dan kuatkan UMNO dengan kekuatan yang ada kerana jika terus menunjukkan pembelaan kepada Najib, parti yang dipimpinnya akan kekal sebagai pembangkang buat selama-lamanya.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.