`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 8, 2020

5 kes terkenal diputuskan peguam negara baru

Kes 1: Dr Mahathir Mohamad v Najib Razak (Disember 2017)
Keputusan: Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman Dr Mahathir Mohamad yang difailkan di bawah “tort misfeasance in public office” tanpa dibenarkan ke peringkat bicara. Alasannya ialah perdana menteri bukanlah “penjawat awam” sedangkan, menurut Mahkamah Rayuan, tort tersebut hanya terpakai ke atas penjawat awam.
Panel 3 hakim mendengar kes ini. Alasan penghakiman ditulis oleh seorang hakim yang lain. Tetapi alasan tersebut dipersetujui oleh Idrus Harun.
Perkembangan terbaru: Pada 2019, Mahkamah Persekutuan dalam kes Tony Pua v kerajaan Malaysia dan Najib memutuskan yang alasan keputusan dalam kes Mahathir v Najib adalah salah. “Tort misfeasance in public office” terpakai terhadap “pegawai awam” termasuk perdana menteri.
Kes 2: Suruhanjaya Pilihan Raya v kerajaan Selangor (Mac 2018)
Latar Belakang: Kes ini berkaitan dengan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi negeri Selangor yang dijalankan oleh SPR. Kerajaan Selangor memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan proses yang dijalankan oleh SPR. Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut.
Namun, pada masa yang sama Mahkamah Tinggi membenarkan penggantungan proses SPR tersebut sementara menunggu rayuan kerajaan Selangor ke Mahkamah Rayuan. Alasannya, proses tersebut jika diteruskan akan menyebabkan rayuan kerajaan Selangor sia-sia.
Keputusan: Mahkamah Rayuan mengenepikan perintah penggantungan tersebut. Idrus menulis penghakiman kes ini. Alasan keputusan ialah proses yang dijalankan oleh SPR tersebut tidak boleh dihalang oleh mahkamah. Ini kerana hasil proses tersebut akan dikemukakan kepada Parlimen untuk diputuskan. Mengganggu proses tersebut melanggar doktrin pemisahan kuasa antara mahkamah dan Parlimen. Terdapat juga kepentingan lebih besar proses demokrasi yang mewajibkan proses berkaitan dalam persempadanan semula dijalankan.
Kes 3: Najib Razak v pendakwa raya (April 2019)
Latar Belakang: Di bawah Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah, sebelum perbicaraan, pihak pendakwa hendaklah membekalkan kepada tertuduh dengan dokumen-dokumen yang pihak pendakwa ingin gunakan semasa kes pendakwaan. Dalam kes ini, tertuduh dibekalkan dengan dokumen berjumlah 7,000 muka surat menurut seksyen 51A tersebut. Bagaimanapun, tertuduh memohon kepada mahkamah supaya pendakwa raya membekalkan lagi penyata-penyata saksi dan dokumen yang diperolehi dalam siasatan tetapi tidak ingin digunakan oleh pendakwa raya dalam kes pendakwaan. Permohonan ini dibuat berdasarkan Seksyen 30(9) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 40 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Keputusan: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tertuduh. Idrus menulis penghakiman kes ini. Alasannya ialah, bagi pengemukaan dokumen sebelum bicara, pihak pendakwa hanya perlu mematuhi Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah. Sebaliknya, Seksyen 30(9) dan Seksyen 40 tersebut adalah berkaitan dengan penerimaan masuk dokumen tertentu semasa bicara dan bukannya tentang pembekalan dokumen sebelum bicara. Jika permohonan ini dibenarkan, kesannya besar kerana ini bermakna keseluruhan kertas siasatan hendaklah diserahkan kepada tertuduh sebelum bicara. Undang-undang belum dipinda untuk membenarkan penzahiran menyeluruh begini seperti yang dipohon.
Kes 4: JRI Resources v Kuwait Finance House (April 2019)
Latar Belakang: Isunya ialah sama ada peruntukan dalam Akta Bank Negara Malaysia (BNM) yang mewajibkan sebarang persoalan syariah dalam transaksi kewangan Islam mesti diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah BNM dan bukannya oleh mahkamah, adalah melanggar perlembagaan.
Keputusan: Kes ini diputuskan oleh 9 hakim Mahkamah Persekutuan. Dengan majoriti 5:4, Mahkamah Persekutuan memutuskan yang peruntukan dalam Akta BNM tersebut tidak melanggar perlembagaan. Idrus tidak menulis sendiri penghakiman. Namun, beliau bersetuju dengan penghakiman minoriti. Bermakna, beliau berpendapat mahkamah yang mesti memutuskan persoalan syariah dalam transaksi kewangan Islam, bukannya Majlis Penasihat Syariah BNM.
Kes 5: Kes “bin Abdullah” (Februari 2020)
Keputusan: Dengan majoriti 4:3, Mahkamah Persekutuan memutuskan yang nama bapa kandung dan nama “bin Abdullah”, kedua-duanya tidak boleh digunakan bagi anak luar nikah dalam kes ini.
Penghakiman majoriti memutuskan yang undang-undang Islam Negeri Johor boleh diambil kira oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam membuat keputusan mereka kerana isu ini berkaitan dengan hal undang-undang peribadi pihak-pihak yang beragama Islam. Undang-undang Islam Negeri Johor menghalang nama bapa kandung digunakan sebagai bin kepada anak di luar nikah.
Pada masa yang sama, undang-undang Islam Negeri Johor tidak menuntut nama “bin Abdullah” digunakan. Dalam hal ini, pihak JPN bergantung kepada fatwa kebangsaan yang mewajibkan nama “bin Abdullah”. Bagaimanapun, fatwa tersebut belum diterima pakai di negeri Johor pada masa berkenaan. Oleh itu, “bin Abdullah” juga tidak boleh digunakan bagi anak tersebut.
Nota: Ulasan kes “bin Abdullah” ini hanya berdasarkan ringkasan media yang dikeluarkan oleh mahkamah. Alasan penghakiman lengkap belum dijumpai. Namun, dinyatakan yang Idrus bersetuju dengan penghakiman majoriti dalam kes ini.
Abdullah Abdul Rahman merupakan seorang pengamal undang-undang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.