`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 10, 2020

Zamri Vinoth puji pelantikan mufti tanpa agenda kepartian jadi menteri agama

Pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.
PETALING JAYA: Pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu menyifatkan pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ialah keputusan tepat kerana beliau bukan ahli parti politik dan tegas dengan pendirian tidak berat sebelah.
Beliau berkata, Zulkifli ialah mufti pertama yang dilantik ke Kabinet dan berharap tindakan itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat yang sebelum ini beranggapan Islam tidak dapat pembelaan sewajarnya.
“Walaupun Zulkifli tidak ada latar belakang sebagai ahli politik, tetapi beliau memang mempunyai latar belakang agama yang bagus,” katanya kepada FMT.
“Kita nampak pandangannya bukan saja mesra kepada penganut agama Islam, tetapi juga bukan Islam. Jawatan yang dipegang Zulkifli kena dengan ahlinya.
“Dia antara mufti yang saya nampak sukar berpihak kepada sesiapa. Sebagai mufti, beliau harus memihak kepada perkara yang benar. Dia sering katakan mana yang betul kata betul dan yang mana salah kata salah.”
Pendakwah berpangkalan di Perlis itu berkata, kedudukan Zulkifli yang tidak menganggotai mana-mana parti politik akan menjadikan tugasnya lebih mudah memandangkan beliau tidak perlu mengambil kira popularitinya dalam perjuangan parti.
“Bila ada seseorang yang bukan dari parti politik, maka dia tidak ada agenda kepartian. Maka, saya fikir dia boleh laksanakan tugas tanpa sebarang campur tangan politik. Saya harap pelantikan ini akan menjadi contoh buat pelantikan akan datang.
“Menteri agama harus bersikap neutral sebab dia adalah menteri agama. Jika kerajaan hendak lakukan sesuatu perkara dan ia bercanggah dengan prinsip agama, Zulkifli patut tegur, tidak kiralah dari kerajaan atau pembangkang.”
Zulkifli antara 6 individu yang akan dilantik sebagai senator hari ini untuk membolehkan mereka menjadi anggota Kabinet gabungan baru pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Zulkifli, 51, dilantik sebagai mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti Ulum al-Islamiyyah wa al-Arabiyyah di Syria dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia dalam bidang pengkhususan pengeluaran fatwa.
Beliau pernah dinobatkan Ikon Integriti & Anti-rasuh 2019 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tokoh Maulidur Rasul 2012 di Wilayah Persekutuan dan Tokoh Maal Hijrah 2014 di Terengganu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.