KUALA LUMPUR: Lapan rumah di tingkat empat Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras terlibat dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran berlaku pada kira-kira 9.20 malam.
“Setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian melibatkan kemalangan jiwa. Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap bomba, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan penghuni lapan unit kediaman tersebut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.17 malam dan seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran memusnahkan 100% keseluruhan tingkat empat itu. Operasi pemadaman menggunakan teknik ‘water tower’ jentera khas Aerial Ladder Platform (ALP) dan Turn Table Ladder (TTL),” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira 11.30 malam.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim turut melawat lokasi kebakaran itu.
Sementara itu, Ismail mengumumkan setiap ketua isi rumah mangsa kebakaran Perumahan Awam Sri Johor di Cheras akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
“Seperti yang saya umumkan di Selangor pagi tadi (semalam) mengenai bantuan untuk mangsa bencana, kebakaran ini juga merupakan bencana, jadi kita akan berikan RM1,000 kepada mereka yang terlibat yang menjadi mangsa kebakaran,” katanya selepas melawat kawasan kebakaran itu malam tadi.
Selain itu, Ismail berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan kediaman baharu buat mangsa kebakaran terbabit yang melibatkan lapan unit rumah di tingkat teratas bangunan empat tingkat itu.
“Tingkat tiga ke bawah sekiranya tidak membahayakan penduduk boleh berpindah masuk ke rumah,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kebakaran itu berjaya dikawal oleh pihak bomba, namun punca kebakaran masih dalam siasatan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.