`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, January 15, 2022

2 lelaki mengaku diupah RM5,400 bawa 18 pendatang asing

 

Menurut Pasukan Gerakan Am (PGA7), dua lelaki tempatan yang membawa 18 orang pendatang tanpa izin warga Myanmar dari sempadan Thailand itu, disyaki sebahagian daripada anggota sindiket penyeludupan migran. (Gambar PGA7)

PASIR MAS: Dua lelaki tempatan mengaku menerima upah sebanyak RM5,400 bagi membawa 18 orang pendatang tanpa izin warga Myanmar dari sempadan Thailand sehingga ke Johor Bahru, dengan kadar RM300 bagi setiap seorang.

Pengakuan itu dibuat hasil soal siasat awal selepas kedua-dua kenderaan dipandu mereka ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di hadapan sebuah sekolah di sini, jam 1 tengah hari semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7 Azhari Nusi berkata, dua lelaki tempatan berusia 27 dan 34 tahun itu, disyaki sebahagian daripada anggota sindiket penyeludupan migran.

Beliau berkata, ketika ditahan, sebuah kenderaan dinaiki lapan orang manakala sebuah lagi 10 orang dan semuanya membabitkan 12 lelaki dan enam perempuan berusia antara 20 hingga 30-an.

“Hasil pemeriksaan dokumen yang dijalankan ke atas semua penumpang dua kenderaan jenis Hyundai Starex itu mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah termasuk dokumen pengenalan dan permit perjalanan.

“Siasatan juga mendapati dua lelaki warga tempatan yang berasal dari Johor itu, bertindak sebagai ejen untuk menghantar pendatang tanpa izin warga Myanmar itu dari sempadan Malaysia-Thailand, dengan upah sebanyak RM300 setiap seorang yang dibawa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, semua pendatang itu juga akan dihantar ke negeri di selatan termasuk Johor dengan dijanjikan peluang pekerjaan.

Azhari berkata pihaknya merampas dua kenderaan dan tiga telefon bimbit yang bernilai RM165,000 dan semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan sama katanya, sejak 16 Dis lalu hingga semalam, PGA7 telah berjaya menahan seramai 61 orang pendatang haram melibatkan 21 orang warga Myanmar, Thailand (39) dan Indonesia (satu). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.