`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 31, 2022

‘Umno tak diselamatkan sesiapa, kami tenggelam bersama-sama’ Tok Mat nafi kenyataan Hadi

 

Mohamad Hasan berkata, kenyataan Hadi Awang bahawa PAS menyelamatkan Umno selepas kalah pilihan raya umum lalu adalah tidak tepat.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menafikan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa PAS “menyelamatkan” Umno-Barisan Nasional apabila parti itu tumbang pada pilihan raya lalu.

Beliau berkata, Umno tidak diselamatkan oleh sesiapa dan maklumat yang diperolehi Hadi itu disifatkan sebagai tidak tepat.

“Kami (Umno) tak diselamatkan sesiapa. Kami (Umno dan PAS) tenggelam bersama-sama. Dulu (2018) kami menang 79 kerusi. Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) keluar, kami masih tinggal 55 kerusi.

“Walaupun begitu, BN masih mempunyai 42 kerusi, terbesar dalam Parlimen. Saya rasa beliau (Hadi) mendapat maklumat yang tidak tepat,” katanya pada program Agenda Astro Awani “PRN Johor: Biarlah Rakyat Yang Pilih” hari ini.

Pada 28 Jan lalu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan bahawa PAS “menyelamatkan” Umno-Barisan Nasional apabila ia tumbang pada pilihan raya lalu namun jasa itu dilupakan.

“Malangnya kita bukan nak ajar itik berenang tetapi (kita) selamatkan itik (yang) patah kaki pada PRU14. Malangnya bila kaki dah sembuh, dia nak berenang sendiri, nak tinggal kita. Jadi itu satu benda yang tidak bermaruah dan tidak betul,” kata Hadi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Umno tidak mendesak untuk diadakan pilihan raya negeri (PRN) Johor kerana didorong rasa gembira berikutan kemenangan besar pada PRN Melaka secara seperti yang didakwa oleh banyak pihak.

Katanya, Umno tidak terlalu yakin kerana masih mengkaji pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku pada pilihan raya negeri.

“Johor bukan macam Melaka. Ia mempunyai demografi pengundi yang berbeza. Ditambah (Johor) adalah negeri yang besar,” katanya.

Mohamad berkata pimpinan Umno mendesak PRN Johor diadakan kerana mahu rakyat Johor memilih kerajaan negeri mereka sendiri memandangkan kerajaan pimpinan BN-Perikatan Nasional sebelum ini tidak pernah dipilih oleh mereka.

“Ia dibentuk melalui persetujuan dalam kalangan ADUN. Tambahan pula, orang ramai mengatakan ini adalah kerajaan pintu belakang, jadi kami mahu membiarkan rakyat memilih kerajaan (negeri) seterusnya,” katanya.

“Anda mempunyai keadaan di mana anda tidak mempunyai undi majoriti kerana seorang ADUN berada di bawah kuarantin Covid. Bagaimana untuk menguruskan negeri dengan masalah ini, sedangkan anda mempunyai majoriti tipis dalam DUN”, katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.