`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, January 31, 2022

Pelanggan didakwa ‘berhutang’, akaun dibekukan akibat kesilapan bank

 

CIMB berkata, ‘kesilapan pemprosesan’ menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.

GEORGE TOWN: Kesilapan CIMB Malaysia mengakibatkan lebih 200 pelanggan didapati “berhutang” dengan deposit bertukar kepada baki debit dan akaun mereka dibekukan.

Pelanggan yang tidak berpuas hati telah membuat laporan kepada polis dan Bank Negara, malah ada yang mendapatkan nasihat undang-undang untuk memfailkan saman, menurut kumpulan sembang melibatkan kira-kira 2,700 pelanggan yang terjejas.

Nadia, dari Alor Setar, berkata, baki semasa sebanyak RM9,035 dalam akaun simpanannya digantikan dengan baki debit RM48,409 (ditunjukkan dalam kurungan, menandakan nilai negatif).

Beliau kemudian diberitahu masalah itu disebabkan oleh “kredit pendua yang silap” tahun lepas dan diminta menjelaskan jumlah itu secara ansuran.

Mangsa lain turut berkata, mereka menerima mesej teks akan ditawarkan pelan ansuran untuk menyelesaikan “hutang”.

CIMB berkata, hanya sebilangan kecil pelanggannya terjejas dan ia sedang menghubungi mereka untuk menyelesaikan isu ini.

Tinjauan di kumpulan sembang itu mendapati kira-kira 40% daripada mereka diminta membayar balik jumlah bawah RM500,000, manakala 40% lagi diminta membayar balik antara RM5,000 dan RM150,000.

Tinjauan lain menunjukkan bahawa dua pertiga daripada responden menggunakan akaun mereka untuk “pindahan bank dan komisen” dan 27% sebahagian besarnya untuk perdagangan dan pembrokeran.

Nadia, 33, berkata, abangnya diminta membayar balik RM18,000 secara ansuran.

“Bagi akaun saya pula, bank berkata ia tidak lagi akan dibekukan jika saya menjelaskan RM42,000. Saya minta wang simpanan saya dipulangkan segera tetapi pihak bank tidak memberi jawapan yang berterus terang,” katanya.

Seorang lagi pelanggan bank, Nur Amira Zulhisham, 24, seorang pekerja pusat berpantang berkata, beliau mula menyedari sesuatu tidak kena pada akaun banknya Selasa lepas apabila menerima mesej memintanya membayar balik RM12,983.

Katanya, beliau hanya mempunyai simpanan kira-kira RM3,000 ketika itu. Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau cuba memindahkan sebanyak yang boleh ke dalam akaun lain, tetapi hanya dapat memindahkan RM1,500 disebabkan had transaksi.

Jumlah itu katanya, cukup-cukup untuk membayar sewa dan membeli keperluan rumah dan bayinya yang berusia dua bulan.

Nur Amira berkata, akaun simpanannya dibekukan pada keesokan harinya. Ibu bapanya, yang bekerja sebagai pemandu teksi dan penjual nasi lemak, diminta membayar sejumlah RM100,000.

“Kami tidak pernah membuat sebarang pinjaman dengan CIMB,” katanya.

Seorang lagi pemegang akaun CIMB, Zahida Dalila berkata, beliau mungkin terpaksa menjual harta bendanya untuk membeli barangan runcit.

Seorang pentadbir kumpulan sembang itu yang tidak mahu dinamakan berkata, separuh daripada kumpulan pelanggan yang terjejas diberitahu akaun mereka akan dipulihkan pada 2 Feb, manakala yang lain akan ditawarkan “pelan ansuran”.

Dalam jawapan kepada pertanyaan FMT, CIMB Bank berkata, ia merekodkan “kesilapan pemprosesan” yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.

“Kami sedang menghubungi pelanggan-pelanggan ini untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus,” katanya selain menambah bahawa pelanggan yang terjejas boleh menghubungi talian penting untuk perbincangan lanjut.

FMT telah menghubungi Bank Negara untuk mendapatkan komen. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.