`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, January 8, 2022

‘Kena pakai kasut Phua Chu Kang, cikgu marah pun tak boleh buat apa’, keluh mangsa banjir hadapi sesi sekolah baharu

 

Asmawiah Ismail menunjukkan but keselamatan yang bakal digunakan anaknya pada hari pertama sesi persekolahan baharu, Isnin ini.

HULU LANGAT: Kasut untuk dua anaknya memulakan sesi persekolahan pada Isnin depan sudah pun tersedia di pintu kediaman Asmawiah Ismail yang ditenggelami banjir besar baru-baru ini.

Namun, kasut yang dimaksudkan bukan sepatu yang lazim dipakai pelajar, tetapi but keselamatan yang biasa disarung buruh, atau popular dipanggil ‘kasut bot’ atau ‘kasut Phua Chu Kang’.

Hati Asmawiah, ibu tunggal berusia 50, luluh kerana terpaksa menyuruh dua anaknya memakai ‘kasut bot’ untuk ke sekolah, meskipun sedar mereka mungkin diejek rakan kelas atau dimarahi guru, namun beliau tidak ada pilihan lain setakat ini.

Rumah Asmawiah di Batu 18, Sungai Lui, Hulu Langat ditenggelami banjir hingga ke paras bumbung dua minggu lalu. Tidak ada ada satu barang pun terselamat – termasuk pakaian seragam, kasut, beg sekolah, serta buku anak-anaknya.

“Kasut bot tu sahaja yang ada. Kalau cikgu marah, tak boleh buat apa. Semua barang tak ada. Baju sekolah pun tak ada. Anak-anak saya pergi sekolah pakai baju biasa sahaja nanti,” katanya kepada FMT.

Keadaan rumah Asmawiah selepas ditenggelami air 18 Dis lalu.

Bantuan untuk pelajar sekolah yang terkesan dengan banjir seperti mana diumumkan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin, dua hari lalu tidak menjadi penawar kepada masalahnya.

Banjir teruk itu menenggelamkan kereta dan motosikal Asmawiah, malah jalan untuk ke Nanding di mana bantuan persekolahan itu disediakan terputus.

“Memang ada bantuan baju dan kasut sekolah. Tapi (agihan) dekat Nanding sana. Saya tak boleh pergi kerana kereta dan motosikal saya tenggelam banjir. Jalan pula putus (runtuh) sebab banjir. Jalan satu lagi berbukit-bukit, lagi jauh. Macam mana saya nak ambil bantuan?” katanya.

Dua anaknya yang akan bersekolah mulai Isnin berusia 16 tahun dan lapan tahun. Dalam keadaan kereta dan motosikal rosak, Asmawiah mengharapkan bantuan penduduk setempat untuk menghantar mereka ke sekolah mulai lusa.

Beliau mempunyai tiga lagi anak termasuk seorang lagi pelajar tahun akhir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Asmawiah yang bekerja sebagai guru KAFA berkata bantuan RM1,000 daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor amat kecil berbanding kerugian yang ditanggungnya. Bantuan itu pantas diberikan namun tidak mencukupi untuk dia bangkit daripada kemusnahan.

“Saya sudah terima bantuan banjir RM2,000 itu tapi kalau nak banding dengan kerugian satu rumah tenggelam, memang sikitlah. Bolehlah buat beli makanan. Kalau nak beli barang elektrik ke, memang tak cukuplah. Kita bukan nak hidup mewah, cukup ada barang yang asas sahaja.

“Kalau nak mula balik kehidupan lepas banjir ni, saya rasa akan ambil masa yang sangat lama,” keluh Asmawiah.

Asmawiah berkongsi kisah mencemaskan apabila beliau terpisah dengan tiga anaknya dan seorang anak saudara dalam banjir itu pada 18 Dis.

Mereka hanyut dibawa arus ketika mahu mengharungi air banjir paras pinggang, untuk ke surau mencari perlindungan.

Nasib tiga adik beradik dan sepupu mereka baik apabila berjaya mencapai dahan pokok. Tiga beranak itu terpaksa ‘duduk’ atas pokok dari 10 malam sehingga 7 pagi keesokannya.

Nurul Ain Najihah Adnan menunjukkan pokok yang menyelamatkan daripada dihanyutkan arus deras.

“Air naik laju sangat. Kami hanyut dan nasib baik abang saya sempat capai dahan pokok manggis. Abang pegang kami. Tapi air naik lagi tinggi. Kami pindah pokok yang lagi tinggi di sebelahnya,” kata anak Asmawiah, Nurul Ain Najihah Adnan, 24.

“Kami duduk atas pokok dari 10 malam sampai 7 pagi esoknya. Saya pandang rumah saya tenggelam dari atas pokok. Saya sedih. Saya cakap kat Tuhan, kalau ini nafas terakhir saya, tolong jaga keluarga saya,” katanya, dengan mata berkaca.

Asmawiah bersyukur semua anaknya selamat walaupun dia sendiri berdepan detik mendebarkan apabila hampir terlepas kerusi roda ketika membawa ibunya yang uzur untuk ke surau. Mujur ada yang datang membantu.

Loteng Madrasah Hasanatul, Sungai Lui, Hulu Langat dijadikan tempat berlindung kira-kira 40 penduduk.

“Ketika itu saya dah tak larat. Tak boleh nak bergerak harung air. Saya hampir putus asa. Nasib ada yang datang tolong. Kami ke surau. Kami ingatkan surau yang tinggi tu tak dinaiki air.

“Rupanya, air tinggi juga. Kami susun meja bertingkat-tingkat. Kami panjat meja tu naik ke atas loteng surau. Ketika itu, 40 orang penduduk bersempit dalam loteng itu. Kami hubungi JPAM. Mereka kata, mereka sedang bahagikan anggota bantu mangsa banjir. Tapi sampai air surut, tiada siapa datang bantu kami.”

Kawasan Hulu Langat seperti Batu 18, Sungai Lui, Taman Sri Nanding, dan Kampung Jawa antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir sehingga menyebabkan ramai penduduk tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sekiranya anda ingin membantu, bantuan tunai boleh disalurkan ke akaun bank Asmawiah Ismail di 162021007170 (Maybank). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.