`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, January 25, 2022

Kurang promosi konsep ‘Keluarga Malaysia’, PM tegur JPM

 

Ismail Sabri Yaakob berkata beliau berharap konsep dilancarkan pada Okt lalu mendapat sokongan semua pihak terutama warga JPM sendiri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menegur Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana kurang mempromosikan konsep Keluarga Malaysia yang digagaskannya.

Menurutnya, beliau berharap konsep dilancarkan pada Okt lalu mendapat sokongan semua pihak terutama warga JPM sendiri memandangkan hampir semua dasar kerajaan ditentukan di jabatan terbabit.

“Saya berharap apabila diumumkan Keluarga Malaysia, ia mendapat sokongan agensi-agensi selain menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan untuk promosikan konsep Keluarga Malaysia.

“Sepatutnya yang mendahului promosi konsep ini ialah JPM. KSN (Ketua Setiausaha Negara) sebagai pengerusi promosi ini, kadang-kadang saya lihat kurang peranan yang ditunjukkan oleh agensi atau jabatan di bawah JPM.

“Justeru, saya berharap dapat meningkatkan promosi konsep Keluarga Malaysia supaya orang lain dapat lihat bahawa JPM terlibat lebih ke hadapan berbanding orang lain. Bagaimana saya mahu minta sokongan orang lain jika kita selaku tuan rumah tidak lakukan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap dalam majlis amanat Perdana Menteri bersama warga JPM hari ini, menurut Utusan Malaysia.

Konsep “Keluarga Malaysia” menggariskan tiga teras utama iaitu iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Sementara itu, Ismail turut berharap semua warga sektor awam khususnya JPM dapat menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti kerana seluruh mata tertumpu kepada jabatan itu yang hampir seluruh perkara berkaitan dasar negara terletak di bawah mereka.

Beliau berkata, JPM mesti menunjukkan contoh terbaik kepada kementerian lain dan rakyat dari segi pengurusan agar apa yang dirancangkan kerajaan perlu dipastikan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Berikutan itu katanya, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas memantau Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya rakyat dapat merasai setiap apa yang diumumkan kerajaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.