KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam Nur Azmi Ahmad bimbang pengurangan elaun latihan kepada atlet pada tahun ini, berisiko menjejaskan pencapaian negara di temasya dwitahunan berlangsung Mei ini.
Beliau yang menganggap tidak adil untuk melakukan pemotongan besar yang “menekan” persatuan dan atlet, merayu supaya Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan, menilai balik penyelarasan elaun tersebut.
Menurut Nur Azmi yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), beberapa persatuan sukan kebangsaan telah pun menghubunginya untuk menyuarakan kebimbangan dan mengadu mengenai perkara berkenaan.
“Elaun dipotong dengan begitu banyak, bagi atlet sepenuh masa, mereka tiada pendapatan lain. Kita tidak mahu kehilangan ramai atlet yang mungkin berhenti atau bersara awal sebab rasa lebih baik fokus pelajaran dan kerjaya.
“Kita setuju elaun dipotong tetapi bukan terlalu banyak kerana atlet berkorban, kerah tenaga untuk menjulang nama negara. Kita cemburu dengan negara-negara lain yang berjaya menang emas Olimpik dan juarai kejohanan dunia, tetapi sendiri tidak jaga kebajikan sukan.
“Kalau atlet berada dalam keadaan tertekan, masih hantar juga ke kejohanan, mungkin tidak ada keputusan (yang dimahukan),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) di Wisma OCM di sini hari ini.
Nur Azmi berkata antara lain, kerajaan boleh mengembalikan konsep rakan sukan dengan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjadi bapa angkat kepada persatuan sukan kebangsaan memandangkan bukan semua persatuan sukan kaya dan mampu menjana pendapatan.
“Jika GLC mampu memberikan sejuta untuk satu persatuan pun sudah cukup baik dan ia tidak membebankan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata ketika mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini, sebanyak 180 atlet layak beraksi dalam Kategori A (semua kos ditanggung) di Sukan SEA bermula 12 hingga 25 Mei ini, tetapi pemillihan atlet hanya dilakukan selepas Tahun Baharu Cina.
Pada Rabu lalu, MSN mengumumkan penyelarasan semula elaun susulan keadaan semasa ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, selain bencana alam melanda negara baru-baru ini.
Ia menyaksikan pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa menerima nilai sama berjumlah RM800, manakala RM800 buat atlet senior dan RM500 buat atlet pelapis yang berada dalam program tetapi tidak meraih pingat.
Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa), manakala RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.