`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 23, 2022

Perjelas undang-undang pemilikan saham babit penjawat awam, kerajaan diberitahu

 

Kumpulan masyarakat sivil berkata, jika Azam Baki sebenarnya telah melanggar pekeliling kerajaan tindakan mesti diambil ‘demi akauntabiliti terhadap awam’.

PETALING JAYA: Sekumpulan tujuh pertubuhan masyarakat sivil memberitahu kerajaan, kejelasan diperlukan berhubung undang-undang yang mewajibkan kakitangan kerajaan mengisytiharkan sebarang pembelian saham.

Susulan kontroversi pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kumpulan itu berkata, sehingga kini belum ada pengesahan sama ada pengisytiharan aset mandatori itu dibuat oleh pihaknya.

“Seksyen 10 Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan jelas menetapkan keperluan untuk penjawat awam mengisytiharkan sebarang pembelian saham kepada ketua jabatan mereka,” kata kumpulan tersebut dalam kenyataan bersama.

“Azam, pada 2015, selaku pengarah siasatan SPRM, telah membeli saham melebihi RM100,000, yang mana ia melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.”

Tambahnya, lebih kejelasan diperlukan untuk mengelakkan kontroversi serupa pada masa depan.

“Kami menggesa agar prosedur yang sewajarnya dilaksanakan pada masa hadapan, supaya lebih jelas untuk badan kerajaan yang bertanggungjawab memantau pematuhan terhadap peraturan tersebut,” katanya.

Jika Azam sebenarnya telah melanggar pekeliling kerajaan, katanya, tindakan mesti diambil “demi akauntabiliti terhadap awam”.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Transparency International Malaysia, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Rasuah Busters, Gabungan Bertindak Malaysia, Bersih, dan Undi 18. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.