PETALING JAYA: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor membidas kenyataan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa beliau terpaksa campur tangan dalam pengurusan bencana banjir di Selangor sebagai “tidak bertanggungjawab”.
ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, menjadi tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN), iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, menjaga keselamatan seluruh negara yang ditimpa bencana, bukan hanya menuding jari kepada kerajaan negeri.
“(Ini) adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab untuk seorang PM mengatakan ’sesetengah pihak’ tidak peduli amaran tersebut hingga perlu campur tangan (kerajaan) pusat.
“‘This is not a blame game!’ Menjadi tanggungjawab MKN untuk jaga seluruh negara yang dalam bencana,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di Twitter.
Terdahulu, Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa Jabatan Meteorologi mengeluarkan enam amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan sebelum banjir besar melanda Selangor pada 18 Dis.
Bagaimanapun jelasnya, amaran itu tidak diendahkan sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana terdapat andaian hanya negeri di Pantai Timur akan terjejas dengan hujan lebat berterusan akibat luruan monsun.
Beliau turut mengkritik pengurusan banjir di Selangor yang disifatkannya lewat bertindak membantu mangsa banjir.
“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam-kabut yang berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor telah mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar (urban flooding).
“Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, mesyuarat khas itu panas hampir 10 minit apabila Ismail berkata, beberapa wakil rakyat pembangkang “hilang” ketika bencana banjir melanda beberapa negeri, khususnya di Selangor pada bulan lalu.
Ismail berkata, beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam untuk membantu mangsa banjir, bagaimanapun Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang tidak kelihatan.
FMT cuba mendapatkan komen Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung perkara itu. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.