`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 24, 2022

UNDI18: Hampir 750,000 pengundi baharu layak memilih pada PRN Johor

 

Pelaksanaan UNDI18 di Johor menandakan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun, membabitkan penambahan hampir 30% jumlah pengundi di Johor sedia ada.

PETALING JAYA: Hampir 750,000 pengundi baharu termasuk pemilih berusia 18 hingga 20 tahun dijangka mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Persatuan Pengundi Muda (UNDI18).

UNDI18 menjelaskan, PRN Johor menjadi pilihan raya pertama membenarkan pemilih dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun menjadi pengundi selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 14 Januari lalu.

“Pelaksanaan UNDI18 di Johor menandakan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun. Ini adalah penambahan hampir 30% kepada jumlah pengundi di Johor sedia ada.

“Dengan adanya pendaftaran pemilih automatik, pemilih yang layak tidak perlu lagi mendaftar sebagai pemilih, tetapi sebaliknya hanya perlu melakukan semakan pemilih melalui portal mysprsemak.spr.gov.my untuk menyemak status kawasan lokaliti tempat pengundian mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, UNDI18 menyeru semua belia di Johor yang mencapai usia 18 tahun dan ke atas untuk mengambil peluang ini melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor akan datang.

“PRN Johor bakal menyaksikan detik bersejarah apabila anak muda berumur 18, 19 dan 20 tahun buat kali pertamanya dibenarkan untuk menjadi pengundi dalam sistem demokrasi negara,” katanya.

Katanya, UNDI18 juga turut mengharapkan pembabitan yang lebih ramai anak muda sebagai calon dalam PRN Johor.

“Parti politik yang bertanding disaran untuk menampilkan muka calon yang baharu, khususnya dalam kalangan anak muda, untuk terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan negeri memandangkan golongan ini memegang peratus besar sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Setakat ini, senarai daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRN Johor kelak belum dimuktamadkan, dengan SPR akan mengumumkan mengenainya selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari depan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.