`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 22, 2022

Hak seorang ibu dijunjung oleh semua agama

 

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus oleh Loh Siew Hong bagi mendesak pihak Jabatan Kebajikan Negeri Perlis serta institusi keagamaan Perlis terlibat memulangkan tiga orang anaknya setelah mereka ditukarkan agama oleh bekas suami beliau tanpa pengetahuannya.

Namun apa yang mencetuskan kegusaran ramai pihak adalah mengapa Loh, seorang ibu tunggal, terpaksa ke mahkamah menuntut agar anak-anaknya dikembalikan oleh Jabatan Kebajikan sedangkan pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terdahulu telah pun memberikan hak penjagaan penuh kepada beliau. Dalam hal ini, dilihat seolah-olah pihak terbabit serta institusi keagamaan Perlis sama ada enggan atau tidak berasa tertakluk dengan perintah badan kehakiman negara.

Jika disingkap sedikit kisah ibu tunggal ini, jelas betapa jalan cerita beliau seakan-akan sama dengan kes-kes sebelum ini yang membabitkan pertukaran agama anak-anak bawah umur oleh bapa tanpa pengetahuan ibu.

Kes-kes seperti Jacqueline Pascarl-Gillespie pada 1992, Shamala Shanathan pada 2003, Subashini pada 2006, S Deepa pada 2012, Indira Gandhi pada 2009 hanyalah segelintir kes yang mendapat perhatian ramai. Umum mengetahui bahawa dalam kes ibu tunggal bernama Indira Gandhi, Mahkamah Tinggi juga memerintahkan agar anak-anaknya yang dilarikan oleh si bapa dikembalikan kepada ibu mereka.

Dengan bersandarkan alasan tidak berjaya mengesan keberadaan si bapa serta anak perempuan bongsu Indira Gandhi, setakat hari ini, ibu ini belum dapat menatap wajah anaknya walhal sudah menjangkau 13 tahun sejak kejadian anak-anaknya ditukarkan agama mereka oleh si bapa.

Akan tetapi, dalam kes membabitkan anak-anak Loh, beliau sendiri yang berjaya menjejak keberadaan ketiga-tiga anaknya tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana pihak. Jika dibandingkan dengan kes-kes ibu yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak, Loh terlalu jauh bezanya. Beliau ibu yang telah melakukan segala-galanya yang termampu untuk mencari anak-anak yang dilarikan daripadanya.

Sejurus selepas beliau keluar daripada pusat perlindungan -wanita teraniaya susulan kecederaan yang dialami daripada bekas suaminya, Loh dengan pantas memohon mendapatkan hak penjagaan sementara anak-anaknya, serentak dengan permohonan cerai daripada bekas suaminya.

Perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan pada 2020 tidak melemahkan semangatnya. Dalam tempoh sejak kehilangan anak-anak beliau, sudah 9 laporan polis yang dibuat oleh Loh untuk menjejaki keberadaan anak-anaknya. Pada Mac 2021, beliau berjaya memperoleh hak penjagaan penuh ke atas anak-anaknya lantaran bekas suami dimasukkan ke penjara bersabit jenayah dadah.

Dengan hanya berbekalkan punca pencarian sebagai tukang masak, ibu tunggal ini ke hulu ke hilir berusaha sedapat mungkin untuk mencari ketiga-tiga anaknya. Luluh hatinya, hiba jiwanya, tak tergambar dek mata. Namun semangat ibu yang pengasih ini tidak pernah luntur untuk menatap semula wajah mereka walau sudah 3 tahun dipisahkan.

Undang-undang negara jelas dalam hal ini. Mahkamah Persekutuan pada 2018 memutuskan bahawa tindakan menukarkan agama kanak-kanak di bawah umur adalah tidak sah tanpa kehadiran kedua-dua ibu atau bapa, sekali gus terbatal serta-merta.

Justeru, sikap Mufti Perlis serta pejabat agama Perlis yang menidakkan keputusan Mahkamah Persekutuan ini cukup menjengkelkan. Bahkan, sejak terdedahnya peristiwa yang menimpa Loh Siew Hong, belum pernah sekali pun pihak Mufti Perlis atau pihak terbabit mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka atas kecuaian mereka sehingga menganiaya seorang ibu yang tidak berdosa.

Lebih mengecewakan, Mufti Perlis juga mengeluarkan kenyataan terbuka bahawa anak-anak Loh tidak mahu kembali kepada ibu mereka. Apakah beliau tidak memikirkan kesan kata-kata tersebut ke atas si ibu yang sudah bertahun mencari anak-anaknya?

Luluh remuk hati seorang ibu diperlakukan sebegitu rupa sehingga terlantun kata-kata daripada Loh bahawa beliau sanggup meninggalkan agama asalnya jika itulah satu-satunya cara untuk mendapatkan anak-anaknya kembali. Tidak zalimkah memperlakukan beliau sedemikian rupa?

Tidak sewajarnya seorang ibu yang sihat akal fikirannya, pengasih dan bertanggungjawab dilayan sebegitu rupa oleh mana-mana pihak. Hak seorang ibu dijunjung oleh semua agama. Setiap peradaban dunia sarat dengan kisah-kisah ibu yang bertarung nyawa melahirkan dan membesarkan anak-anak mereka. Sebarang penganiayaan terhadap seorang ibu oleh pihak atasan dilihat suatu perbuatan yang melanggar adab susila mana-mana masyarakat sekali pun.

Cukup-cukuplah perkara seumpama ini timbul lagi. Sudah-sudahlah perlakuan seperti ini berulang lagi. Hormatilah keputusan mahkamah negara. Saya berpegang utuh kepada Rukun Negara yang saya hafal sejak sekolah rendah, yang terpahat di jiwa sanubari saya. Keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Undang-Undang. - FMT

Chan Quin Er adalah Ahli Jawatankuasa Pusat MCA.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.