TAMBUNAN: Seorang wanita rentung selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Tikolod di sini, tengah malam tadi.
Mayat Norhabibah Awang, 30, ditemui anggota bomba di bahagian ruang tamu rumah terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky@Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah malam tadi.
Katanya, sembilan anggota dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 20km dari BBP Tambunan.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar 90 peratus dan operasi memadamkan segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan pili bomba terdekat.
“Terdapat 10 penghuni di dalam rumah berkenaan dan seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Desmond berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada 1.45 pagi selepas api dipadamkan sepenuhnya.
“Punca sebenar kejadian kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.