`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 25, 2022

Belajar politik baharu daripada jiran tetangga

 

Ada banyak persamaan antara dua negara Melayu yang berjiran rapat, Indonesia dan Malaysia. Tetapi mahukah kita belajar daripada pengalaman dan kebijaksanaan mereka? Atau apakah kita terlalu angkuh dan merasa kita lebih pandai?

Lihatlah kepada kepincangan yang kita hadapi beberapa tahun kebelakangan. Bukan saja politik kita yang jadi kucar-kacir, tapi ekonomi juga merudum, pentadbiran yang tidak menentu dan kesediaan kalangan masyarakat ‘menerima’ pesalah korupsi.

Kita kehilangan kompas moral yang amat serius, sehinggakan nak buat akta anti-lompat parti pun masih tak mampu. Apa lagi untuk melawan hawa nafsu mengahwini gadis bawah umur.

Itulah beberapa faktor yang menjadi ukuran kepandaian kita semua. Ternyata kita gagal.

Ekonomi Indonesia

Indonesia, negara Melayu pertama yang menjadi republik, jauh lebih ramai penduduknya iaitu seramai 267 juta (Malaysia cuma 32.7 juta). Ia juga berbilang kaum dan pelbagai etnik, agama, dan budaya.

Dengan potensi pasaran yang lebih besar untuk diterokai, ternyata Indonesia juga lebih aman dan nyaman daripada banyak segi.

Suatu waktu dulu, Malaysia tergolong dalam grup ‘anak harimau’ ekonomi Asia dan Indonesia dianggap di belakang. Sekarang, ekonomi mereka bergerak lebih jauh ke depan dengan KDNK bernilai USD1.088 trilion (tangga 16 di seluruh dunia), sedangkan Malaysia ketinggalan dengan cuma USD336 bilion, pada 2021.

Pertumbuhan KDNK mereka juga jauh lebih tinggi, 6.1% pada 2021, sementara Malaysia hanya 3.1%. Indonesia juga menarik jumlah pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di antara negara ASEAN, sebanyak USD31.6 bilion sementara Malaysia cuma mampu sekadar USD11.1 bilion.

Perkembangan ekonomi ini juga berpunca daripada keadaan politik Indonesia yang lebih stabil dan kurangnya amalan korupsi dan sogokan dalam kerajaan. Daripada segi proses demokrasi, sistem pemerintahan yang stabil, dan kepimpinan yang tegas dalam menangani pembangunan sosio-ekonomi, sekarang lebih jauh mengatasi Malaysia.

Proses demokrasi

Pada Mei 1998 apabila jatuhnya Presiden Suharto, yang terkait dengan rejim pemerintahan kuku besi, penuh dengan pelbagai korupsi dan kroni kapitalisme yang berleluasa, Indonesia seperti hilang arah.

Perkara yang hampir serupa terjadi di Malaysia dua puluh tahun kemudian, juga pada Mei, tapi 2018. Melalui proses pengundian, rakyat telah menolak Najib Razak dan partinya, juga atas isu penyelewengan wang negara dan korupsi yang hampir sama.

Walaupun ianya bukan revolusi seperti yang berlaku pada waktu kejatuhan Suharto, ternyata pengundi di Malaysia mahukan perubahan, pemerintah yang lebih demokratik, tulus, dan tidak korup.

BJ Habibie, yang waktu itu sebagai naib presiden Indonesia, dilantik menjadi presiden dan diberi tugas untuk mengubah struktur politik dan pentadbiran.

Seperti juga dalam kalangan ramai ahli Umno sekarang yang dikatakan tidak berpihak kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, juga Naib Presiden Umno, rakan-rakan politik Pak Harto waktu dulu juga tidak setuju dengan pelantikan Habibie.

Tetapi Habibie ternyata lebih berani. Seorang teknokrat yang mempunyai mentaliti reformis dan amat komited terhadap perubahan struktur politik Indonesia. Beliau sedar Indonesia tidak bisa ke depan sekiranya rangka demokrasi yang lengkap belum terjadi. Mereka juga mempunyai sistem penglibatan tentera dalam pemerintahan.

Habibie bekerja keras dengan merombak sistem yang sedia ada dan memberikan kepentingan kepada rakyat untuk memilih wakil ke parlimen Indonesia setiap lima tahun dan jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Formula baharu

Formula baharu untuk menegakkan demokrasi di Indonesia tanpa campur tangan pihak tentera, akhirnya berjaya dilaksanakan dengan pengundian terbuka pertama selepas 34 tahun rejim Suharto, pada Jun 1999.

Sebanyak 462 dari 500 kerusi parlimen dipertandingkan dan cuma 38 kerusi sahaja dikhaskan untuk tentera.

Partai Demokratik Indonesia (PDI-P) menjadi parti terbesar dengan memenangi 153 kerusi, mendahului partai Habibie, Golkar, yang cuma menang 120 kerusi.

Waktu itu dewan parlimen diberi kuasa untuk melantik presiden dan Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) dari parti kecil mendapat sokongan Golkar dan beberapa parti kecil yang lain, untuk menjadi presiden. Megawati, ketua PDI-P yang besar, kecundang dan cuma mendapat jawatan naib presiden.

Tetapi Gus Dur, dari parti minoriti PKB, (seperti mana Muhyiddin Yassin dari parti kecil Bersatu) cuma dapat bertahan selama 19 bulan dan diganti oleh Megawati pada Jun 2001.

Pada 2002, Megawati sebagai presiden, dengan kuasa yang sama seperti Perdana Menteri Malaysia, telah menggubal undang-undang baharu. Jawatan presiden mesti diundi oleh rakyat sebagai pengundi, sama seperti di Amerika Syarikat.

Ibu Mega, nama mesranya dalam kalangan rakyat juga menghapuskan 38 kerusi tentera di parlimen. Ini satu langkah yang amat tegas lagi berani yang dilakukan demi untuk menentukan masa depan Indonesia yang lebih harmoni dan lebih teratur.

Presiden diundi rakyat

Pilihan raya ditetapkan untuk setiap lima tahun dengan tarikh yang tepat dan tidak bisa diubah, iaitu pada setiap Julai. Tidak seperti di Malaysia, tarikh pilihan raya dijadikan permainan politik dan semacam ugutan sesama mereka.

Ini amat tidak adil kepada rakyat Malaysia di mana masa dan tenaga mereka banyak terbuang, dimainkan atau dimanipulasikan oleh ahli dan parti politik.

Berlainan dengan pemikiran di Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) menjadi presiden pertama yang dipilih oleh pengundi pada Julai 2004 dan lima tahun kemudian pada Julai 2009.

Ini diikuti oleh tokoh terkenal Joko Widodo atau panggilan mesranya, Pak Jokowi, juga dari PDI-P, yang terpilih sebagai presiden ke-7 pada 9 Julai 2014. Pak Jokowi diundi lagi lima tahun kemudian untuk penggal kedua atau terakhir sebagai presiden.

Kesimpulannya apakah kita mempunyai perdana menteri yang tegas lagi berani untuk bertindak sedemikian rupa, demi untuk kepentingan rakyat dan negara?

Habibie tidak bertindak cuma untuk kepentingan Golkar tetapi untuk seluruh Indonesia.

Dalam keadaan sekarang, Malaysia seharusnya berfikir secara strategis untuk merangka satu kepastian yang benar-benar terbaik untuk rakyat dan negara. Dalam rangkaan ini, kita seharusnya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, kaum, kumpulan, atau sistem yang sedia ada.

Kerana pendekatan sebegitu mungkin tidak memberi hasil yang terbaik untuk masa depan semua rakyat dan negara, terutama Sarawak dan Sabah.

Mungkin pengalaman dan masalah silam di Indonesia itu memberi erti yang amat dalam kepada rakyat Malaysia, terutama bagi generasi baharu.

Pada waktu yang sama, kita tidak harus merasa tertekan dan terlalu cepat untuk membuat andaian bahawa sistem yang terpakai sekarang adalah yang terbaik untuk kita dan masa depan anak-anak kita.

Suatu waktu, kita harus akui anak-anak kita yang berkawan rapat dengan anak-anak jiran tetangga itu, lebih tahu apa sebenarnya yang mereka mahu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.