SEREMBAN: Mayat wanita yang ditemui di dalam gaung di KM14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, Ahad lepas dipercayai ditinggalkan di lokasi terbabit bagi menyorokkan kematiannya.
Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata, ia berdasarkan hasil siasatan pihaknya setakat ini susulan penahanan tiga suspek.
“Walaupun menyorok kematian, kesalahan itu tetap disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Punca sebenar kematian masih dalam siasatan tetapi difahamkan mangsa menghidap Covid-19 semasa kematian.
“Kita akan tunggu perkembangan siasatan seterusnya bagi memastikan punca kematian sebenar dan apakah tuduhan sewajarnya ke atas tiga individu yang ditahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, tiga individu berkenaan juga adalah ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya empat individu, termasuk ahli keluarga lain dan jiran terdekat di kawasan berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Sebab kita dapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Jadi kita akan terus siasat dan mengenal pasti sebab kematian dan punca kejadian itu boleh berlaku,” katanya.
Pada 20 Mac, mayat wanita tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan laporan bedah siasat dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan punca kematian. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.