`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, March 30, 2022

SOP PRN Johor untungkan parti kerajaan, kata BERSIH

 

PRN Johor pada 12 Mac lalu menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan berjaya menawan 11 kerusi, PN (tiga) serta PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, prosedur operasi standard (SOP) kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini lebih menguntungkan parti kerajaan dan merugikan parti serta calon pembangkang.

Dalam laporan pemerhatian PRN Johor ke-15, badan bebas itu berkata, had 100 orang untuk ceramah lebih merugikan pembangkang apabila parti atau calon di pihak kerajaan bebas menggunakan jentera dan sumber kerajaan untuk berkempen atas nama program rasmi kerajaan.

“Walaupun SOP untuk kempen pilihan raya kali ini dengan kebenaran untuk mengadakan ceramah, ‘walkabout’, ziarah rumah ke rumah dan pengedaran risalah, namun kami mendapati bahawa SOP ini menguntungkan parti/calon yang berada di pihak kerajaan dan merugikan parti/calon pembangkang,” katanya.

Antara isu lain dibangkitkan ialah pemilih positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi yang bertentangan dengan Perkara 119 perlembagaan persekutuan.

“Semua rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih berhak membuang undi mereka dalam pilihan raya.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) seharusnya bertegas untuk membenarkan pesakit Covid-19 membuang undi dan menyediakan kemudahan yang bersesuaian kepada mereka agar dapat melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam isu berkaitan salah laku dan kesalahan pilihan raya, BERSIH merekodkan 71 laporan yang dipantau di 21 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara kesalahan utama adalah penjamuan dan pemberian yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) merekodkan kesalahan tertinggi dengan 33 kesalahan.

“Antara contoh kesalahan dilakukan PN adalah pembukaan Gerai Prihatin pada 4 Feb di Pasar Tani Pagoh dan jamuan makan malam anjuran sebuah persatuan Cina di Austin International Convention Center, Johor Bahru yang dihadiri lebih 800 orang,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 11 kesalahan direkodkan dan penggunaan jentera serta sumber kerajaan paling banyak dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), iaitu sembilan kesalahan manakala dua kesalahan lagi dilakukan oleh PN.

Selain itu, sebanyak 13 kesalahan membuka pondok panas dan perayu undi diperhatikan oleh pemantau BERSIH.

“BN paling banyak membuka pondok panas dan merayu undi walaupun ada antaranya berjarak lebih 50m dari pusat pengundian. Malah ada pondok panas yang dibuka di dalam rumah orang tua yang berjarak lebih sedikit dari 50m dari pusat pengundian di SJK (C) Tampoi di DUN Kempas,” katanya.

Bagi kesalahan mengangkut pengundi ke pusat pengundian, BERSIH merekodkan sebanyak lima kesalahan parti politik yang kebanyakannya dilakukan oleh BN dan PKR.

“Pengangkutan pengundi adalah satu kesalahan bawah Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

PRN Johor pada 12 Mac lalu menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan berjaya menawan 11 kerusi, PN (tiga) serta PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.