PETALING JAYA: Lapan remaja, termasuk tiga pelajar, ditahan kerana menuang cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di sebuah pusat beli-belah di Kluang, Johor demi meraih tontonan tinggi dalam aplikasi TikTok.
Tindakan kumpulan remaja bermotosikal itu dikesan pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Kluang, Low Hang Seng berkata, lapan remaja lelaki berusia 16 hingga 19 tahun itu, termasuk tiga yang masih bersekolah, ditahan selepas polis menerima laporan.
“Kira-kira 4 petang semalam, polis mengesan rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik pemilik akaun Facebook memaparkan tingkah laku penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta di pusat beli-belah itu.
“Kejadian itu dipercayai berlaku pada 5.30 pagi Ahad lalu dan susulan rakaman video itu, polis mengenal pasti semua suspek. Mereka ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang pada 9.30 malam tadi (Selasa),” katanya menurut laporan Harian Metro.
Low berkata, hasil ujian air kencing semua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, iaitu khianat terhadap harta.
Beliau memberi amaran perbuatan vandalisme atau membinasakan harta benda awam serta persendirian boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, badan pengurusan bersama Kluang Parade menerusi Facebooknya meminta suspek tampil bertanggungjawab sebelum perkara itu dibawa kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.