`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 15, 2022

DUN Kedah, Kelantan, Terengganu tidak akan dibubar, kata Hadi

 

Abdul Hadi Awang berkata, fokus diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini tidak akan dibubarkan walaupun terdapat spekulasi mengatakan empat ADUN akan menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri diterajui PAS.

Selain Kedah, DUN Kelantan dan Terengganu juga tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan kepimpinan di ketiga-tiga negeri menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“PAS mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

“Justeru, PAS membuat pendirian supaya DUN Kelantan, Terengganu, dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, DUN Sabah dan Melaka dibubarkan selepas beberapa ADUN menarik sokongan menyebabkan kerajaan hilang majoriti.

Pada 22 Jan lalu, DUN Johor dibubarkan susulan kematian ADUN Kempas, Osman Sapian yang menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berkelebihan satu kerusi.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, enam negeri dijangka tidak akan membubarkan DUN masing-masing sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Aminuddin berkata, perkara itu ada dibincangkannya bersama lima negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.

Tanpa menyebutkan lima buah negeri lain itu, beliau berkata, kesemua negeri terlibat telah menyatakan hanya akan membubarkan DUN selepas penggal tamat.

Selepas PRU14 pada 2018, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah Pakatan Harapan (PH), manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.