`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 15, 2022

Remaja 14 tahun direman, disyaki bakar bilik asrama, kuliah madrasah di Marang

 

Remaja berusia 14 tahun itu dipercayai membakar bilik kuliah, bilik asrama dan bilik tumpangan Madrasah dan Pondok Al-Huda, Kampung Lubuk Perah, di Marang, petang semalam.

MARANG: Seorang remaja lelaki direman selama dua hari sehingga esok, bagi membantu siasatan kes kebakaran di asrama Madrasah dan Pondok Al-Huda, Kampung Lubuk Perah dekat sini, petang semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda setelah mendapat permohonan daripada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Remaja berusia 14 tahun itu kelihatan tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira 9 pagi diiringi anggota polis.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 6 petang, Isnin, pemilik madrasah berkenaan menyedari berlaku kebakaran di bilik kuliah dan mendapati tilam yang berada di dalam bilik tersebut telah terbakar.

Pemilik madrasah kemudian terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan dan tidak lama kemudian, kebakaran kedua dikesan di bilik asrama dan semasa bomba tiba, berlaku pula kebakaran ketiga di bilik tumpangan berhampiran surau madrasah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid, ketika ditemui di lokasi kejadian semalam, berkata pihaknya mengesyaki terdapat unsur jenayah dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Kebakaran pada tempat berbeza dengan “pattern” yang sama… bahan bukti kita dah ambil dan akan dibawa ke makmal untuk analisa,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.