`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 14, 2022

IMW ada masalah kewangan, tapi dipilih atas keupayaan aset, kata Wee

 

Wee Ka Siong berkata, faktor lain IMW dipilih mengendalikan konsesi kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan negara kerana pengalaman 15 tahun dalam bidang itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong mengakui Integrated Marine Works Sdn Bhd (IMW) yang dilantik sebagai kontraktor untuk kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan negara, mempunyai masalah kewangan, tetapi syarikat itu dipilih berdasarkan keupayaan aset dan pengalaman 15 tahun dalam bidang berkenaan.

IMW adalah anak syarikat Inai Kiara Sdn Bhd yang didakwa disaman kerajaan kerana tidak membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Dari segi masalah kewangan, itu memang berlaku, tetapi dari segi teknikal, mereka ada peralatan yang cukup. Mereka telah melabur lebih RM2.2 bilion (dalam peralatan)…(ya) syarikat ini menghadapi masalah kewangan dan masih dalam peringkat diuruskan pihak bank.

“Saya ingin maklumkan, asas pertimbangan sepertimana yang dibincangkan dalam Kabinet, termasuk melihat latar belakang syarikat ini yang menjalankan projek begitu banyak sekali dan berdasarkan pengalamannya selama 15 tahun dalam bidang ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Wee berkata, IMW telah menyelesaikan 247 projek bernilai RM2.28 bilion di semua pelabuhan persekutuan dalam negara ini yang menjadi asas pertimbangan ia dipilih mengendalikan konsesi kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan Malaysia bermula Julai tahun lalu.

“Ada banyak syarikat yang jadi ejen di sini untuk dapatkan kapal (jentera pengorek) di luar, tetapi syarikat ini yang melabur lebih aset di Malaysia dan ini sebagai salah satu asas pertimbangan.”

Beliau menjawab soalan Loke Siew Fook (PH-Seremban) jika benar kerajaan memberikan konsesi kepada sebuah syarikat bankrap dan mempunyai prestasi kewangan buruk.

“Saya nak tanya, adakah syarikat ini ada pelbagai masalah, antaranya Inai Kiara yang diberi konsesi ini adalah sebuah syarikat yang telah bankrap sehingga ada saman dari kerajaan terhadap syarikat ini tak bayar cukai kepada LHDN.

“Tidakkah menteri sedar banyak juga projek tergendala dan ada banyak kerja tidak dapat disiapkan syarikat ini,” soal Loke.

Wee kemudian menjelaskan, syarat dan terma konsesi itu masih dalam pertimbangan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebelum perjanjian akhir dimeterai kerajaan dan syarikat konsesi.

“Saya faham dengan apa yang YB bangkitkan dalam perkara ini dan semua kelemahan yang ada mungkin dalam kontrak sebelumnya akan dibincangkan dengan UKAS sebelum perjanjian akhir dapat dimeterai, ianya dalam tindakan UKAS.”

Pada 7 Mac lalu, Kementerian Pengangkutan mengesahkan IMW dilantik sebagai kontraktor untuk menjalankan kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan negara mulai 7 Julai 2021.

IMW ialah pemegang konsesi untuk penyelenggaraan pengorekan bagi semua pelabuhan persekutuan antara 21 Dis 2004 hingga 21 Dis 2019. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.