`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 7, 2022

Isu ceroboh perairan negara, lewat bantuan banjir antara tumpuan Parlimen hari ini

 

 Sidang Dewan Rakyat hari ini dijangka menyaksikan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Isu pencerobohan perairan negara khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif dan kelewatan mengeluarkan arahan bagi menyelamatkan mangsa banjir dijangka menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai isu berkenaan akan dibangkitkan semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Persoalan mengenai langkah yang diambil oleh Malaysia bersama ASEAN untuk menangani isu negara China yang dikatakan sering menceroboh perairan negara terutama di Zon Ekonomi Eksklusif, dikemukakan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) kepada Menteri Luar Negeri.

Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pula dijangka bertanyakan Perdana Menteri mengenai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang didakwa lewat mengeluarkan arahan sehingga pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa turun tanpa arahan bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Pada sesi sama, Tan Kok Wai (PH-Cheras) turut dijangka bertanyakan Perdana Menteri mengenai kemiskinan di dalam bandar dan luar bandar serta jurang pendapatan dalam negara seterusnya pencapaian serta kegagalan program yang dirangka dan dilaksana untuk mewujudkan masyarakat lebih saksama.

Selain itu, Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) meminta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan status terkini mengenai fasa 2 Projek Pan Borneo Sarawak susulan pengumuman Perdana Menteri untuk meneruskan projek berkenaan semasa melawat ke Serian selepas projek itu dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) pula meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan perkembangan terkini Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) yang disasar untuk menjadikan negara sebagai hab pengeluar vaksin.

Selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Sidang Dewan Rakyat hari ini juga dijangka menyaksikan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 selepas dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.