`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 11, 2022

Johor di persimpangan politik amat penting

 

Rakyat Johor berdepan dengan perjalanan politik yang amat penting apabila mereka diminta untuk keluar mengundi esok, 12 Mac ini.

Belum pernah berlaku dalam sejarah politik Johor, warga negeri itu mempunyai begitu banyak pilihan calon dan parti untuk mewakili mereka di dewan undangan negeri Johor.

Seramai 239 calon bersaing untuk menjadi wakil rakyat di 56 kerusi yang dipertandingkan.

Terdapat tujuh kerusi yang ditandingi tiga calon, 35 kerusi yang menyaksikan persaingan empat penjuru, 8 DUN pula melibatkan lima calon.

Manakala empat dan dua DUN masing-masing membabitkan persaingan enam dan tujuh penjuru, dari parti-parti yang berbeza.

Ini menjadikan pilihan raya negeri kali ini amat demokratik dari segi kebebasan untuk memilih calon.

Tetapi dari sudut pemilihan, ianya juga payah untuk membuat keputusan kerana informasi terhadap ramai calon masih tidak sempurna.

Dalam pada itu, parti-parti dalam kumpulan yang sama berlawan sesama sendiri yang juga bukan saja mengeruhkan suasana politik itu sendiri, tetapi mengelirukan ramai pengundi terutama di kawasan desa atau luar kota.

Majoriti mudah

Parti yang bersaing perlu mempunyai sokongan 29 ADUN untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Sebelum DUN dibubarkan, kedudukan kerusi ialah:

  • PH (Amanah, DAP & PKR) 28, BN (Umno & MIC) 19 dan PN (Bersatu & PAS) 10.
  • BN dan PN, yang bergabung untuk membentuk kerajaan Johor, melebihi satu kerusi daripada PH.

Tetapi sekarang mereka merebut kerusi yang sama dan bertelagah untuk diberi kuasa untuk mentadbir Johor.

Dengan itu rakyat Johor yang berumur 18 tahun ke atas mesti membuat pilihan yang bijak.

Pilihan raya bukanlah sesuatu yang boleh dianggap ringan. Memilih calon-calon yang sesuai, dari parti politik yang berkemampuan, untuk mentadbir negeri untuk lima tahun akan datang adalah perkara asas yang amat serius.

Ia bakal menentukan siapakah dalam kalangan calon-calon itu yang akan mentadbir kerajaan negeri, menentukan jumlah cukai yang akan dibayar oleh rakyat, menjalankan perbelanjaan tahunan, mentadbir-urus badan-badan milik negeri dan menyediakan perkhidmatan di peringkat daerah dan majlis tempatan.

Di sinilah letak pentingnya PRN Johor.

Ramai ahli politik mengambil kesempatan dengan menggunakan masa berkempen ini untuk meraih publisiti murah untuk menjadi popular, tetapi sebenarnya tidak menolong atau membantu menzahirkan tujuan sebenarnya PRN ini diadakan.

Ciri-ciri demokrasi

Pemilihan ini berkait rapat dengan siapa yang cekap dan lebih berkemampuan menguruskan tugas-tugas yang disebutkan tadi.

Ini memberi erti bahawa mereka yang dilantik itu akan bersikap jujur, amanah, tidak terlibat dengan unsur-unsur korupsi, dan tidak akan menerima sebarang sogokan dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan, di dalam mahupun diluar pentadbiran kerajaan.

Inilah ciri-ciri demokrasi yang negara kita amalkan. Rakyat memilih calon-calon yang bertanding untuk diberi kuasa mentadbir rakyat dan negeri. Jadi, kerajaan ini dilantik oleh rakyat, untuk rakyat, dan kepada rakyat diberi perkhidmatannya.

Adakala ramai calon yang lupa tentang prinsip demokrasi ini dan mereka membuat banyak keputusan yang melawan dengan arus dan kehendak rakyat.

Diharapkan pengundi kali ini tidak lagi memilih calon yang angkuh, tidak peduli rakyat, dan mengamalkan perkara negatif yang songsang aspirasi masyarakat .

Jadi pengundi Johor mesti keluar beramai-ramai dan membuat pilihan. Tersilap pilih, mereka akan menyesal dan terpaksa menunggu lima tahun sebelum berpeluang membuat pertukaran.

Inilah persimpangan politik yang dimaksudkan. Memilih calon samalah dengan memberi kuasa kepada wakil rakyat tersebut untuk membuat berbagai keputusan dalam pentadbiran dan kewangan Johor nanti.

Wakil yang bekerja keras untuk memberi kemudahan asas kepada rakyat bermula dari detik pengundian esok.

Banyak masalah yang dihadapi penduduk Johor seperti tiada tanah dan rumah kediaman sendiri, tiada pekerjaan yang sesuai di Johor dan terpaksa ke Singapura untuk bekerja. Ia berkait tahap kecekapan pentadbiran negeri, kurang kemampuan dari sudut perancangan ekonomi dan lemah dari segi pengurusan.

Mereka yang dipilih sebelum ini tidak berjaya untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi rakyat Johor. Pendek kata mereka dilihat gagal untuk menjalankan tugas-tugas mereka dengan baik dan sempurna.

Jadi rakyat Johor mesti pandai untuk menilai prestasi mereka sebelum memberi sokongan sekali lagi.

Pekerjaan & pendapatan

Banyak masalah yang telah berlaku memberi kesulitan kepada rakyat dan banyak pihak.

Tiada rancangan pembangunan perumahan yang sesuai untuk rakyat adalah isu utama di Johor. Dengan harga tanah yang melambung tinggi, ramai rakyat Johor yang tidak mampu untuk memiliki rumah di kawasan bandar.

Projek perumahan yang dibangunkan oleh pihak swasta bermotifkan keuntungan besar, lantas sasaran pemasaran mereka adalah untuk kelas menengah ke atas dan bukan lagi untuk golongan B40.

Seperti yang semua tahu, projek-projek ini mendapat kelulusan pembangunan dari kerajaan negeri yang dilantik rakyat.

Kemudahan infrastruktur yang baik adalah juga isu yang dibangkitkan rakyat sebelum ini.

Masalah bermusim seperti banjir dan sistem saliran yang tidak sempurna, kemudahan awam yang tidak memuaskan pengguna, perkhidmatan dan terminal pengangkutan awam yang tidak terancang, kapasiti perjalanan yang tidak mencukupi, adalah isu-isu penting yang mesti ditangani oleh kerajaan baharu nanti.

Hampir semua parti-parti yang mengemukakan calon dalam PRN ini telah mengeluarkan manifesto mereka.

Menilai manifesto

Jadi, pengundi Johor boleh menilai sendiri sejauh manakah manifesto-manifesto ini menepati kehendak mereka.

Apakah parti-parti yang terlibat sebenarnya memahami masalah rakyat?

Apakah kempen mereka selama dua minggu yang lalu mengupas masalah-masalah tersebut dan menawarkan penyelesaian?

Atau manifesto mereka akan cuma menjadi janji-janji kosong seperti apa yang terjadi sebelum ini?

Parti-parti yang terlibat mesti mempunyai kaedah munasabah untuk menangani masalah-masalah yang disebutkan. Malangnya, ramai calon yang berkempen menjanjikan apa saja demi untuk meraih undi.

Berdasarkan amalan sebelum ini, ada yang tidak segan silu menabur wang tunai, tanpa banyak bicara.

Apakah pengundi Johor akan termakan dengan umpan sebegitu atau melihat lebih jauh demi kepentingan nusa dan bangsa?

Inilah antara persoalan yang pengundi harus menilai, membuat sedikit analisis dan mengambil pendirian tegas sebelum keluar mengundi pada esok. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.