`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 16, 2022

‘Saya akan kembali kepada PAS selepas misi tegur dari luar selesai’, kata Khairuddin

 

Mohd Khairuddin Aman Razali menolak untuk menubuhkan parti baharu atau menyertai Umno. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali akan kembali ke pangkuan PAS selepas misinya untuk “menegur parti itu dari luar” selesai.

Katanya, buat masa ini beliau masih lagi “jemaah” gerakan Islam berdasarkan konsep dibawa PAS namun tidak bersama organisasi itu.

“Bila saya kata berhenti sifatnya sementara dengan tujuan tertentu dan saya suatu hari akan kembali kepada PAS sekiranya pemimpin masih menerima keahlian saya, tetapi untuk hari ini saya mohon berhenti sebagai ahli PAS dengan tujuan tertentu,” katanya dalam temu bual disiarkan Bernama TV malam tadi.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu turut menolak untuk menubuhkan parti baharu atau menyertai Umno.

Katanya, sebagai ahli beliau sudah menjalankan tanggungjawab dengan menegur parti mengikut saluran yang betul sehingga pimpinan PAS bertindak menggugurkan jawatan disandangnya.

“Maka saya perlu ambil kaedah berada di luar parti sementara waktu untuk menyedarkan kepimpinan parti…untuk urus parti cara betul kerana kesilapan urus parti, kesannya kepada apa yang akan dicapai dalam menguruskan parti terutama libat masa depan parti ketika nak hadapi PRU,” katanya.

Khairuddin juga tidak berhasrat melepaskan jawatan Ahli Parlimen disandangnya sejak dua penggal lalu demi memberi khidmat bakti kepada rakyat Kuala Nerus sehingga Parlimen dibubarkan.

“Saya nak sebut kepada ahli PAS kawasan saya, hari ini saya jadi Ahli Parlimen bebas, anda berhak untuk tidak bersetuju dengan saya.

“Tapi saya tetap akan berkhidmat untuk rakyat saya, ahli parti untuk apa saja perkara melibatkan rakyat. Datang jumpa saya,” katanya.

Pada sidang media di Parlimen kelmarin, Khairuddin mengumumkan keluar daripada PAS dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas, selepas menganggotai parti itu selama 33 tahun.

Beliau bertindak keluar PAS selepas digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu awal tahun ini.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa pengguguran itu dibuat atas sebab disiplin, namun tidak menghuraikannya.

Tidak lama selepas itu, PAS mengumumkan Khairuddin juga digugurkan sebagai Setiausaha Majlis Syura parti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.