`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 7, 2022

Sikap ‘tikam belakang’ Bersatu masalah untuk Umno, kata Puad

 

Puad Zarkashi berkata, Umno tidak bermain ‘politicking’ dan lebih bimbang dengan sikap ‘tikam belakang’ Bersatu. (Gambar Bernama)

BATU PAHAT: Sikap ‘tikam belakang’ Bersatu adalah yang paling dibimbangi berbanding daripada prestasi Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, tegas Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, ini kerana Umno sememangnya parti yang memperjuangkan rakyat dan tidak akan “berpoliticking” (permainan politik) dalam kerajaan.

“Saya tidak risau tentang keupayaan Ismail sebagai Perdana Menteri. Yang kita risau lebih pada ‘game plan’ yang dimainkan parti-parti seperti Bersatu terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Umno.

“Kita tak ada ‘politicking’. Yang kita bimbang Bersatu yang tikam dari belakang seperti berlaku di Sabah,” katanya ketika ditemui FMT di kediamannya di Rengit.

Puad berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau risau tentang sentimen pengundi terhadap Umno apabila pimpinan Ismail dilihat lebih kurang sama dengan kerajaan Muhyiddin Yassin seperti dalam isu keluhan rakyat berkait pengurusan banjir, ekonomi, wabak Covid-19 dan bantuan kerajaan.

Beliau menambah bahawa sikap dan “tembelang” Bersatu lebih terserlah selepas Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Katanya, Bersatu semakin “sombong” dan beliau bimbang dengan keikhlasan parti itu dalam kerajaan yang dipimpin Umno masa ini.

“Tembelang Bersatu lebih nyata selepas tidak bekerjasama dalam PRN Melaka termasuk di Johor (masa ini), mereka jadi lebih ‘arrogant’ (sombong). Saya lebih risau keikhlasan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Puad menolak tanggapan bahawa Bersatu dianggap lebih kuat di Johor berikutan Presidennya, Muhyiddin Yassin juga berasal dari Johor dan pernah menjadi Menteri Besar di negeri itu.

Beliau berkata, jika Bersatu kuat di Johor, mengapa Muhyiddin tidak berani bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, malah beliau berasa sangat yakin jika bertanding di Gambir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan kalah.

Puad menambah disebabkan itu Muhyiddin menolak PRN Johor kerana mengetahui kedudukannya dalam negara semakin teruk dan lemah.

“Semua orang tahu Bersatu parti yang bergantung kepada orang yang melompat parti, tidak ada akar umbi. Kita tengok pilihan raya ini, di Rengit ini, dia terpaksa upah orang sebab tidak ada jentera dan akar umbi.

“Sebab dia ingat kekal dalam kerajaan, nak guna kekuatan kerajaan untuk ‘survive’ dalam politik,” katanya.

Beliau menjangkakan Bersatu akan kehilangan banyak kerusi di Johor.

Puad juga berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk menang dua pertiga kerusi di Johor kerana mempunyai akar umbi yang kuat dan tidak lari daripada parti selain menambah tidak ada masalah atau timbul soal ‘dua darjat’ untuk beliau bertanding di DUN pada PRN Johor kali ini.

Katanya, walaupun soalan mengapa beliau bertanding di DUN kali ini sangat popular, tetapi baginya yang penting boleh menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab, amanah, membela rakyat dan berani bersuara.

“Pertama saya diamanahkan parti. Saya ikut keputusan parti. Kedua pada saya tidak ada beza saya bertanding di Parlimen atau DUN,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.