`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 7, 2022

Takaful berasas sistem nilai berkembang kukuh

 

Etiqa berkata, Takaful dan insurans masing-masing mempunyai kelebihan, namun Takaful dipacu oleh satu set prinsip dan nilai yang menarik golongan sefahaman di serata dunia.

PETALING JAYA: Takaful semakin mendapat sambutan di Timur Tengah, Afrika, Eropah dan di beberapa negara Asia, antaranya kerana ia memiliki sistem nilai yang kuat.

Antara sebab ia semakin popular ialah prinsip di sebalik konsep Takaful itu sendiri, tanpa mengira kepercayaan mahupun fahaman.

Takaful adalah patuh syariah dan berdasarkan konsep kerjasama, tanggungjawab, perlindungan dan saling menolong. Istilah takaful di ambil daripada perkataan Arab “kafala”, yang bermaksud jaminan.

Takaful dikenali sebagai pelan perlindungan yang menyalurkan caruman ke dalam suatu tabung, iaitu “dana risiko” yang digunakan sebagai sumbangan (tabarru) untuk membantu Orang Yang Dilindungi yang menghadapi bencana atau kemalangan.

Oleh kerana caruman Takaful dianggap sebagai suatu bentuk sumbangan, maka unsur “ketidakpastian” (gharar) dalam takaful adalah boleh diterima dari pandangan Syariah. Gharar ini wujud disebabkan oleh bencana atau kemalangan yang tidak dapat dijangka sama sekali.

Di samping itu, ia memansuhkan unsur “perjudian” (maisir) kerana pencarum sebagai penyumbang tidak menjangkakan sebarang pulangan.

Sebaliknya, insurans konvensional menganggap pelan perlindungan sebagai suatu bentuk perjanjian jual dan beli.

Dalam Takaful, transaksi sebegitu mesti mempunyai unsur tukaran nilai yang pasti, iaitu sesuatu yang tidak dijamin oleh insurans.

Dalam konteks bagaimana dana dilaburkan, Takaful melaburkan wangnya dalam skim pelaburan, syarikat, dan instrumen kewangan yang patuh syariah yang ditentukan oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi pasaran tempatan atau indeks asing patuh syariah bagi pasaran antarabangsa.

Penyedia Takaful dan insurans terkenal, Etiqa berkata, perniagaan Takafulnya menjana pendapatan menerusi “wakalah”, iaitu suatu bentuk kontrak yang membenarkan pencarum membayar fi kepada pengendali untuk khidmat yang ditawarkan.

Pengendali juga memperoleh pendapatan menerusi “ju’alah”, iaitu suatu bentuk ganjaran yang dijanjikan apabila sesuatu hasil dicapai, yang menyaksikan lebihan dari dana risiko dikongsi dan diagihkan antara pengendali dan Orang Yang Dilindungi.

Etiqa berkata, Takaful dan insurans masing-masing mempunyai kelebihan, namun Takaful dipacu oleh satu set prinsip dan nilai yang menarik golongan sefahaman di serata dunia.

Agensi penarafan kredit, Fitch Ratings berkata, pasaran Takaful di Malaysia yang diterajui oleh Takaful keluarga meningkat sebanyak 46.7% pada separuh pertama 2021 berbanding 7.08% dalam tempoh sama pada 2020.

“Pertumbuhan caruman setinggi itu dipacu oleh kesedaran orang ramai mengenai produk-produk Takaful, sokongan inisiatif kerajaan, kelonggaran ke atas kawalan pergerakan Covid-19 dan ekonomi yang memulih,” kata Fitch.

“Fitch menjangkakan sektor Takaful akan terus tumbuh dengan sihat pada 2022 berdasarkan kadar penembusan sektor takaful, model perniagaan dan pencapaian teknologi di tengah-tengah kesedaran mengenai Takaful yang semakin meluas, inovasi pendigitalan dan inisiatif kerajaan.

“Malaysia merupakan pasaran Takaful ketiga paling besar di dunia menurut Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, dengan ekosistem kewangan Islam yang rancak termasuk perbankan Islam, perbadanan patuh syariah, pengurus dana Islam dan industri halal yang memerlukan produk Takaful,” tambahnya.

Menurut Deloitte Touche Tohmatsu Limited, nilai pasaran Takaful global mencecah RM115.7 bilion (USD27.6 bilion) pada 2021 dan dijangka meningkat kepada RM208.7 bilion (USD49.8 bilion) pada 2027.

“Dipacu oleh faktor seperti polisi pelaburan beretika, prospek pertumbuhan yang kuat dan harga berdaya saing, Takaful merupakan tawaran perniagaan yang baik malah turut mempunyai ramai pelanggan bukan Islam,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.