`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 14, 2022

Surat untuk ketua pembangkang yang gagal

 

Keputusan PRN Johor: BN 40, PN 3, PH 12, MUDA 1.

Syabas kepada saudara kerana memberi kemenangan yang mudah kepada BN di PRN Johor.

Kegagalan saudara selama dua minggu berkempen telah memberi nafas baru kepada BN dan sekaligus, seperti yang diramalkan, hampir melenyapkan parti saudara, PKR, dari DUN Johor.

Ini berpunca dari kempen strategi yang salah, kaedah yang tidak cekap, tanpa sebarang strategi politik yang boleh menarik pengundi untuk menang.

Ramai Calon

Walaupun menjadi ketua pembangkang, saudara cuma bertindak untuk parti sendiri, iaitu PKR, dan tidak untuk semua parti-parti yang menentang BN.

Sepatutnya saudara mengumpulkan semua parti-parti pembangkang untuk membentuk strategi menghadapi PRN Johor.

Ketua pembangkang harus menilai di mana kekuatan parti masing-masing, menyelaraskan perpaduan dan membahagi kerusi-kerusi untuk melawan BN satu lawan satu.

Daripada keputusan PRN ini, ternyata pengundi amat keliru dan mengundi berbagai-bagai parti.

Dengan perpecahan undi antara PH, PN, Pejuang, MUDA, dan Warisan, sememangnya tiada parti yang cukup kuat untuk mengalahkan BN secara bersendirian.

Kesimpulannya, BN menang bukan kerana mereka gagah, sebaliknya kerana saudara amat lemah dan tidak lagi berdaya untuk mengetuai pihak pembangkang.

Sebagai ketua pembangkang, saudara sepatutnya bertemu dengan ketua-ketua mereka dan berbincang terlebih dahulu tentang bagaimana cara yang paling sesuai dan berkesan untuk merancang satu kempen strategi untuk melawan.

Tutup Pintu

Tetapi ini tidak terjadi kerana dari awal lagi, saudara telah menutup pintu untuk sebarang perbincangan. Ini bukan cara memimpin namanya.

Dalam PH sendiri pun saudara membuat keputusan memihak kepada PKR.

Tanpa mengambil kira naluri DAP dan Amanah serta ahli akar umbi mereka di Johor, keputusan-keputusan saudara telah menyebabkan mereka juga turut kecundang di banyak kerusi yang ditandingi.

Amanah yang dulunya mempunyai sembilan kerusi, cuma tinggal satu. DAP yang mempunyai 14, tinggal 10.

Parti saudara sendiri cuma menang satu dan kalah 19, satu angka yang amat mengecewakan.

Kempen kosong

Saya melihat ‘livestream’ saudara semasa berkempen. Intinya tidak ada, melencong dengan banyaknya ‘anekdot’ yang tidak relevan.

Strategi saudara, kalaupun boleh dinamakan sedemikian, tersasar, dan lari jauh dari isu-isu tempatan.

Saudara turun ke padang tanpa membuat ‘kerja rumah’ terlebih dahulu. Ini tidak mencerminkan seorang ketua pembangkang yang “hands-on” dan disegani ramai.

Tiada sebarang kempen strategi yang efektif untuk menyangkal BN yang pandai menutup isu-isu utama dan kesalahan mereka dengan baik.

Ini memberikan persepsi taraf kepastian yang tinggi dikalangan pengundi dan menolak parti pembangkang.

Dalam keadaan BN yang berpecah dua, antara “court cluster” dan yang tidak, saudara masih tidak berjaya mengambil kesempatan dari situasi tersebut.

Saudara tidak dapat membaca apa yang sebenarnya pengundi Johor mahu.

Banyak isu-isu di Johor yang tidak dibawa oleh PH dan pembangkang lain. Semuanya tidak senada dan masing-masing membawa rentak kempen berbeza.

Saudara sendiri kelihatan seperti ketakutan memainkan peranan sebagai ketua pembangkang untuk menyerang pihak-pihak tertentu yang begitu tamak dengan kuasa.

Mereka dengan rakus membolot segala peluang yang ada.

Rakyat Johor dapat melihat dengan jelas, tetapi peranan pembangkang untuk menyuarakan hal-hal demikian tidak kedengaran.

Apabila saudara tidak membawa isu tanah, reklamasi laut, geran rumah yang berdekad tidak selesai, ekonomi yang muram, tiada peluang pekerjaan dan projek-projek besar dikaut oleh kaum elit sahaja, saudara dilihat sebagai tidak lagi berfungsi untuk terus menjawat jawatan ketua pembangkang.

Sekatan untuk masuk bekerja semula di Singapura, juga tidak disuarakan, sedang inilah isu amat penting bagi ramai rakyat Johor.

Tidak berani

Pengundi tidak lagi melihat saudara sebagai ketua pembangkang yang berani dan tegas.

Jadi bagaimana mereka mahu mengundi parti saudara dan pembangkang yang lain?

Di sinilah letaknya punca kekalahan tersebut.

Parti-parti yang melawan BN berkempen dengan cara dan agenda mereka sendiri. Semuanya tidak fokus dan tidak kena pada sasaran.

Apa lagi untuk membantu isu-isu tempatan yang serius dan membimbangkan tadi.

Isu besar, iaitu sistem feudalisma yang semakin menebal dan bergerak bebas, tidak disebut langsung.

Perkara ini melibatkan rakyat Johor yang telah lama tertindas dan jarang dibangkitkan, tidak disuarakan oleh saudara dan pembangkang yang lain.

Tidak ada keberanian, bererti kempen PRN itu berada dilandasan ketakutan.

MoU dengan Kerajaan

Dua hari sebelum PRN, tiba-tiba timbul cadangan untuk sambung MoU yang saudara tandatangani bersama kerajaan pusat.

Ini sesuatu yang amat kelakar dan tidak masuk akal. Tetapi saudara juga terdiam.

Kepincangan saudara sebagai ketua pembangkang dan rakan-rakan pembangkang lain di Parlimen, telah lama dilihat sebagai amat mengecewakan.

Ini terbukti di PRN Johor.

Jadi apa gunanya ada pembangkang? Sekiranya mereka semua menyokong kerajaan?

Ini juga mengecewakan pengundi di Johor. Mereka mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi.

Apa tugas parti-parti pembangkang, apabila takut untuk bersuara dan takut untuk menegakkan keadilan?

Kalaupun ada pembangkang di DUN Johor, ramai yang berfikir, mereka tidak akan menjalankan tugas dengan berani dan nekad.

Sebenarnya, permainan politik saudara banyak yang tidak kena dan jauh terpesong dari aspirasi rakyat.

Mungkin inilah masa yang sesuai untuk bersara dari politik. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.