`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 10, 2022

Wakil rakyat Sabah gesa Putrajaya tegas tangani tuntutan waris Sultan Sulu

 

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meminta Ahli Parlimen Sabah supaya bertenang dan menjelaskan segala persoalan berbangkit sudah pun dijelaskan oleh menteri.

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen dari Sabah mendesak Putrajaya supaya lebih tegas menangani tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu di Filipina, terutama selepas satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol mengarahkan Malaysia membayar USD14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata isu pada waktu ini bukannya hanya soal kerajaan mengiktiraf atau tidak keputusan berkenaan tetapi harus disusuli tindakan lanjut dengan membuat laporan polis terhadap penimbang tara terbabit, Gonzalo Stampa dan waris Kesultanan Sulu.

“Soalan saya kenapa mahkamah timbang tara memihak kepada penuntut, Malaysia kena buat laporan polis untuk mengesahkan ada komplot antara Stampa dan waris Sultan Sulu.

“Kita harus bertindak untuk ketepikan arahan bodoh ini, saya minta maaf tetapi saya kecewa kerana usul saya (berhubung isu itu) ditolak.

“Siapa Sabah di mata kerajaan Persekutuan sekarang ini? Adakah kami tidak penting? Sekarang ini Malaysia yang diarahkan bayar jumlah besar,” kata pemimpin Warisan itu di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ahmad Hassan (Warisan-Papar) meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung keputusan timbang tara antarabangsa yang mengarahkan Malaysia membayar RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu.

Ia susulan dakwaan pelanggaran Perjanjian 1878 ditandatangani antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent, di mana Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, yang kini sebahagian Sabah.

Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia kekal dengan pendirian menolak keputusan berkenaan berdasarkan lunas undang-undang.

Jelasnya, ini kerana Stampa, penimbang tara yang membuat keputusan berkenaan telah dibatalkan pelantikannya oleh mahkamah di Sepanyol susulan keputusan Mahakamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 14 Jan 2020 yang memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Selain itu, pengesahan waris kesultanan Sulu yang membuat tuntutan berkenaan juga diragui dan belum disahkan.

“Kita sudah ambil tindakan sewajarnya untuk menjaga kedaulatan negara,” katanya.

Bagaimanapun, penjelasan Wan Junaidi tidak diterima oleh Isnaraissah dan pemimpin Warisan itu mahu perkara itu dibahaskan.

“Sebab itu Malaysia kena ambil tindakan tegas ini Bapak Menteri.. sebab itu kita minta bahas (perkara) ini… ini bukan soal sekolah daif atau longkang tersumbat ini soal kedaulatan negara,” tambahnya.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kemudian meminta Isnaraissah supaya bertenang dan menjelaskan segala persoalan berbangkit sudah pun dijelaskan oleh Menteri.

“YB bawa bertenang, saya rasa ia telah dijawab.. sebagai peguam saya faham apa yang dijawab itu. Saya sebagai peguam faham kenapa kita tidak ambil bahagian dalam itu. Tetapi bukan fungsi sayalah untuk terangkan tetapi perkara ini susah untuk difahami ‘very fined of the law’.

“Kalau boleh ambil pandangan undang-undang yang betul memahami apa yang YB Menteri cakap, saya rasa YB semua akan faham apa yang diperkatakan. Agak rumit untuk difahami, saya tidak menyalahkan anda (Kota Belud),” katanya.

Pada Rabu lalu, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya tuntutan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) yang dikatakan perlu dibayar kepada waris Sultan Sulu.

Sebelum ini, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah USD14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.