`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 2, 2022

ADUN kerajaan, pembangkang setuju kerajaan negeri diberi kuasa urus peruntukan

 

Kerajaan negeri lebih mengetahui keutamaan projek yang perlu dilaksanakan, kata ADUN.

PETALING JAYA: ADUN kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan seorang pemimpin Umno agar kerajaan negeri diberikan kuasa menguruskan peruntukan pembangunan sendiri.

Sambil menyifatkan cadangan itu sangat bagus, ADUN Layang-Layang di Johor, Abd Mutalip Abdul Rahim berkata, pelaksanaannya juga perlu dipertingkatkan dari segi pentadbiran.

“Pada awal, pembaharuan sebegini memang perlu proses penambahbaikan, tetapi lama kelamaan akan menjadi lebih baik dan cepat,” katanya kepada FMT.

Pada Selasa, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Abdul Rahman Dahlan mencadangkan agar kerajaan negeri diberi kuasa menguruskan peruntukan sendiri kerana mereka lebih mengetahui keutamaan di negeri masing-masing.

Ini turut dipersetujui ADUN Tanjong Bunga, Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang berpandangan bahawa pengagihan kuasa pusat, khususnya dari segi kewangan, adalah prinsip yang amat penting dalam demokrasi berasaskan persekutuan.

Semua cukai dikutip oleh kerajaan pusat, katanya, dan peruntukan pula diberi secara rambang mengikut projek-projek yang diluluskan olehnya.

“Sebaiknya duit itu diberi kepada kerajaan negeri kerana kerajaan negeri lebih mengetahui keutamaan projek-projek infrastruktur yang diperlukan,” katanya.

ADUN Permatang Pasir, juga di Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerajaan negeri patut diberi kuasa itu bagi menghormati prinsip federalisme yang termaktub dalam perlembagaan.

“Hasil negara turut bergantung kepada prestasi kerancakan industri di negeri-negeri,” katanya.

“Jadi sudah pasti peruntukan sepatutnya diuruskan oleh negeri. Barulah ada keseimbangan dalam pembangunan negara.”

Ketua Pembangkang DUN Johor Liew Chin Tong berkata, aturan sistem menurut Perlembagaan Persekutuan sedia ada memberi terlalu banyak kuasa kepada kerajaan pusat dan ini memberi kesan kepada negeri-negeri, termasuk Johor.

Katanya, Malaysia memerlukan sebuah persekutuan yang akan memberi lebih banyak kuasa kepada kerajaan negeri, termasuk dalam bidang kesihatan, pembangunan ekonomi, dan pendidikan.

“Kerajaan persekutuan tidak akan rugi jika ia berkongsi hasil cukai pendapatan dengan kerajaan negeri,” katanya.

“Dengan bertambahnya pembangunan ekonomi dan kutipan cukai, kedua-dua kerajaan pusat dan negeri akan mendapat faedah daripada hasil yang lebih besar.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.