`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 19, 2022

Bersatu Ampang dakwa Zuraida terdesak, sanggup melutut kepada Umno untuk kekal jawatan

 

Ketua Bersatu Ampang Mohd Isa Mohd Saidi mendakwa Zuraida Kamaruddin sanggup menjilat ludahnya sendiri demi mengekalkan pangkat dan harta untuk berada dalam Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Bersatu Ampang menyifatkan Ahli Parlimen kawasan itu, Zuraida Kamaruddin terdesak mencari talian hayat untuk kekal sebagai menteri apabila sanggup melutut dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi, berkata jika perdana menteri mahu mengekalkan Zuraida, Ismail Sabri Yaakob perlu menggugurkan seorang menteri daripada kuota Umno.

“Jika perdana menteri mahu memberi talian hayat kepada Zuraida, beliau perlu menggugurkan salah seorang menteri daripada kuota Umno dan bukan mencuri kuota Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu juga seperti menjilat ludah sendiri apabila sanggup bekerjasama dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak, yang sebelum ini dikritiknya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Kini, Zuraida melutut kepada Umno dan BN demi mencari talian hayat. Nampaknya, Zuraida langsung tidak ada rasa malu untuk menjilat ludah sendiri demi untuk mengekalkan pangkat dan harta.

“Zuraida tiada prinsip. Dahulu beliau antara yang kuat mengkritik pimpinan Ahmad Zahid dan Najib Razak. Tetapi, hari ini mereka menjadi sumber nyawa untuk Zuraida,” katanya.

Katanya, tindakan Zuraida menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai “pengganti presiden” tidak mengejutkan dengan mendakwa Ahli Parlimen Ampang itu terlalu mengejar jawatan tertinggi dengan pantas, tanpa mengikut proses biasa.

Katanya, sejak Zuraida menyertai PBM tiada ahli Bersatu mengikutinya dan tiada satu cawangan pun ditutup di Bahagian Ampang.

Terdahulu, Zuraida berharap dapat mengekalkan jawatannya walaupun pada 26 Mei lalu, menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata akan membincangkan peletakan jawatan dengan perdana menteri, selepas mengumumkan keluar Bersatu.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri pada 27 Ogos 2021, ketika bersama Bersatu sebelum mengumumkan keluar parti itu pada 26 Mei lalu, untuk menyertai PBM dan kemudian diumumkan sebagai “pengganti presiden” atau bakal presiden PBM, pada 8 Jun. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.