PETALING JAYA: Seorang guru pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengeluh apabila tuntutan bayaran mengawas dan elaun perjalanannya belum diperoleh sehingga kini.
Guru yang enggan identitinya didedahkan itu memberitahu FMT, sudah ada segelintir guru pengawas yang mendapat bayaran bermula 21 Jun lalu.
Namun, masih ramai guru yang belum mendapat bayaran daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
“Saya sudah banyak kali hubungi JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) tapi jawapan yang selalu kami, guru-guru dapat adalah masih dalam proses. Kami buat tuntutan sejak Mac lalu dan sehingga kini belum dapat.
“Mereka minta kami lampirkan berbagai dokumen tapi bayarannya tetap lambat. Kami ingin tahu, apa dan bagaimana cara mereka menguruskan tuntutan kami?,” soal guru yang sudah sembilan tahun berkhidmat.
Bukan itu saja, tuntutan elaun mengawas untuk ujian lisan SPM yang dibuat sejak Februari lalu juga belum dilunaskan kerajaan.
Pada 8 Jun lalu Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, memberitahu beliau akan mengarahkan tuntutan bayaran dan elaun perjalanan guru pengawas SPM dibayar mulai 9 Jun, namun ia hanya mula diterima bermula 21 Jun lalu.
Lebih menyedihkan, tuntutan itu belum “nampak bayang” ketika semua pelajar SPM sudah mendapat keputusan peperiksaan masing-masing, ibarat “rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”.
Keputusan SPM diumumkan KPM pada 16 Jun lalu.
Seorang lagi guru yang enggan dikenali berkata, semua guru keberatan untuk dilantik sebagai guru pengawas SPM kerana tidak berbaloi dengan masa, tenaga dan wang ringgit.
“Semua guru tak mahu jadi guru mengawas SPM. Bukan dapat bayaran banyak pun, itu pun kalau buat tuntutan, mesti lambat bayar.
“Saya sendiri kena mengawas sejauh 50km dari rumah dan jauh dari sekolah, tempat saya mengajar. Saya tak boleh tolak lantikan itu sebab nanti kasihan guru lain pula kena ganti saya,” katanya yang mengajar di utara Semenanjung.
Menurut pekeliling Perbendaharaan Malaysia, guru boleh membuat tuntutan perjalanan 85 sen per km untuk 500km pertama dan selebihnya 75 sen per km.
Bagi elaun mengawas pula, guru mengawas dibayar RM225 yang kemudian dicampur dengan bilangan sesi peperiksaan.
Manakala, bagi ketua pengawas dibayar RM300 yang kemudian ditambah bilangan calon peperiksaan dan bilangan sesi peperiksaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.