`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 15, 2022

Pengangkutan awam mesti diberi keutamaan

 

Ramai yang melihat pengangkutan awam seperti MRT, LRT, atau kereta api komuter KTM direka dan dibina untuk rakyat berpendapatan rendah dan tiada upaya kewangan untuk membeli kenderaan sendiri.

Sebenarnya itu anggapan yang salah.

Pengguna pengangkutan awam itu tergolong dalam kumpulan yang lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Dengan tidak menggunakan kenderaan persendirian, bererti mereka tidak menggunakan tenaga seperti petrol, diesel, atau elektrik yang melibatkan pengeluaran karbon tinggi. Mereka tidak mencemarkan udara dan mengeluarkan bahang yang memanaskan lagi cuaca dan persekitaran.

Inilah sebenarnya antara ciri utama mengapa pengangkutan awam direka dan dibentuk. Maksud sebenar penggunaan pengangkutan awam seperti yang terdapat di negara Eropah atau Jepun belum terserlah di negara kita.

Naratif ini tidak disampaikan dengan sempurna kepada pengguna atau pemilik kenderaan persendirian yang terus menerus menggunakan kenderaan mereka untuk semua perjalanan.

Memiliki kenderaan persendirian tidak salah sekiranya penggunaannya terkawal dan dibatasi. Tetapi untuk perjalanan tertentu seperti ke tempat kerja, sekolah, atau rekreasi serta berhiburan, menggunakan pengangkutan awam amatlah digalakkan.

Apa gunanya pendapatan yang tinggi sekiranya kita terus menyedut udara yang tidak bersih dan penuh dengan karbon oksida? Ini menjadikan kehidupan seharian kita tidak sihat.

Kenderaan persendirian banyak merosakkan alam sekitar dan menjadikan taraf kehidupan yang tidak lagi lumayan seperti dekad-dekad yang dulu.

Meningkatkan pengangkutan awam

Pihak berkuasa mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ini.

i. Maklumat yang salah; maklumat yang sebenarnya tidak jelas termasuk cara dan gaya hidup pemimpin yang tidak mencerminkan tujuan atau matlamat yang ingin dicapai oleh negara, iaitu menurunkan kadar karbon dioksida di dalam setiap kaki persegi.

Sebagai contoh: perdana menteri UK dan negara Eropah berbasikal atau menaiki tram ke pejabat, sebab mahu mengurangkan karbon di bandar raya; dan mereka menjadi contoh terbaik.

ii. Harga bahan api seperti petrol dan diesel yang murah dan diberi subsidi menggalakkan lagi penggunaan kenderaan persendirian dan tidak membantu penggunaan pengangkutan awam. Ini perlu kajian dan pendekatan yang berlainan mulai sekarang.

iii. Tidak ada sekatan terhadap penggunaan kenderaan persendirian. Seharusnya kadar sewa tempat letak kereta di kota dinaikkan dan kenaikan itu disalurkan ke penggunaan pengangkutan awam, daripada segi kemudahan awam seperti tempat pejalan kaki yang lebih teratur dan selamat.

Mengadakan kemudahan seperti eskalator dan ‘walkalator’ ke stesen pengangkutan awam juga menggalak kegunaan pengangkutan awam.

iv. Membenarkan penggunaan kenderaan mobiliti mikro seperti skuter elektrik di kawasan pejalan kaki dan membenarkannya dibawa masuk ke dalam gerabak MRT, LRT, dan kereta api komuter.

Lanskap kota harus diubah reka bentuknya supaya kenderaan kecil peribadi itu dapat diguna dengan selamat dan mudah.

v. Membenarkan motosikal e-panggilan dari rumah ke stesen MRT, LRT, dan kereta api komuter sebagai penyelesaian terhadap masalah perbatuan pertama dan terakhir semasa menggunakan pengangkutan awam.

Langkah-langkah ini akan dapat membantu ke arah penggunaan dan kemudahan yang lebih baik dan sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.