`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 11, 2022

Perniagaan tak jejas, peniaga syukur pelanggan faham punca roti canai naik harga

 

Rata-rata peniaga mula menaikkan harga roti canai sebanyak 20 sen susulan kenaikan harga bahan mentah.

PETALING JAYA: Peniaga yang mula menaikkan harga roti canai, bersyukur perniagaan mereka tidak terjejas kerana pelanggan memahami kenaikan itu disebabkan peningkatan harga bahan mentah.

Pemilik Restoran Mutiara D’Maju di Damansara Perdana, Abdul Rasyid Jennah, 32, menaikkan harga roti canai sebanyak 20 sen sejak awal bulan lalu, namun bilangan pelanggannya masih kekal seperti kebiasaan.

“Harga barang semua naik, tepung naik dalam RM1, susu, minyak masak dan marjerin naik mendadak, jadi memang terpaksa naik juga harga, tetapi mujurlah pelanggan pun faham kenapa kami naik harga,” katanya ketika ditemui FMT.

Nurul Efaa, 25, yang berniaga hampir tiga tahun berkata, ini kali pertama dia menaikkan harga roti canai dan ia sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos pembelian bahan mentah yang turut mengalami peningkatan.

“Dulu, tepung RM2.20 boleh dapat, sekarang dah naik RM3.60, jadi kami memang naik harga, tapi tak banyak. Jadi, suka atau tidak kena terimalah, sebab barang pun mahal, kami bertahun tak pernah naik harga.”

Hasil tinjauan di premis menjual roti canai mendapati pelanggan tidak merungut mengenai kenaikan harga makanan itu kerana memahami situasi ekonomi semasa.

Pemilik Restoran Mutiara D’Maju, Abdul Rasyid Jennah bersyukur jumlah pelanggannya masih kekal seperti kebiasaan, walaupun harga roti canai dinaikkan.

“Biasalah, bila harga barang naik, benda lain pun akan naik juga. Peniaga pun cari makan juga, kalau kekal harga sama, macam mana nak dapat untung,” kata pekerja kilang automotif, Abdul Rahman.

Penulis kandungan, Siti Nur Hajar, 27, pula berharap tiada peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga terlalu tinggi.

Siti Nur Hajar.

“Perasan juga harga roti canai dah naik, kebanyakan naik dalam 20 sen, okeylah naik pun tak mendadak, tapi janganlah pula ada yang ambil kesempatan guna alasan harga barang naik untuk kenakan harga yang melampau,” katanya.

Meskipun merasakan tindakan peniaga lain menaikkan harga makanan itu wajar, tetapi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Lina masih mengekalkan harga roti canainya agar pelanggan mampu menikmati harga makanan lebih murah ketika kos sara hidup semakin tinggi.

“Kesian dekat pelanggan, kena fikir mereka juga…buat masa ini, warung saya masih kekal RM1 untuk roti canai biasa dan RM2 untuk roti telur.

“Walaupun kekalkan harga sama, saya yang dah berniaga dekat tujuh tahun lebih tidak pernah lagi kurangkan kuantiti makanan sebab saya tak sampai hati tengok pelanggan makan kuantiti yang sikit.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.