Polis berkata kejadian berlaku apabila anggotanya menyerbu sebuah rumah untuk selamatkan dua mangsa culik sebelum suspek melepaskan tembakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata, kejadian pada 8.40 malam itu berlaku apabila sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa culik.
Katanya, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan pasukan serbuan terpaksa membalas tembakan untuk menyelamatkan diri sehingga tiada ancaman keselamatan.
“Dua suspek dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan 9.30 malam dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek.
“Mangsa culik iaitu seorang lelaki warga asing berusia 70-an dan wanita warga asing berusia 30-an ditemukan selamat dalam keadaan mata bertutup dan tangan bergari,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, dua pistol semi auto jenis Baretta mengandungi lima butir peluru dan revolver mengandungi empat butir peluru serta satu bilah parang panjang turut ditemui berdekatan penjenayah.
Kumar berkata, susulan kejadian itu, polis menjalankan beberapa serbuan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Seramai enam individu ditahan membabitkan seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing serta seorang perempuan warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.