`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, January 6, 2013

`Notis singkat mengosongkan asrama menyusahkan pelajar’


Pelajar sukar cari rumah baru serta sewa melambung manakala penginapan disediakan Unisel jauh.
KUALA SELANGOR: Kegusaran dan kebimbangan  pelajar Univesiti Selangor (Unisel) mengenai keselamatan mereka untuk menghuni di bangunan asrama ada asasnya.
Tinjauan FMT dikebanyakkan blok asrama di sini mendapati mendapan dan rekahan wujud terutama membabitkan bahagian bawah bangunan tersebut.
Bangunan asrama yang mempunyai 40 blok, kebanyakkannya wujud masalah itu dan pihak Unisel telah pun mengambil langkah proaktif untuk mengosongkan bangunan tersebut dengan segera.
Sementara itu, pelajar yang ditemui rata-rata terkejut dengan notis singkat dikeluarkan pihak pengurusan universiti yang meminta mereka mengosongkan asrama.
Notis singkat ini nyata memberi kesukaran kepada para pelajar memandangkan masih ada kelas dan peperiksaan yang diadakan.
Auni Syamimi Alya Ahmad A Murad, 19, ketika ditemui berkata pemberitahuan  mengenai pengosongan asrama hanya diketahui selepas pulang cuti perayaan Krismas melalui portal universiti.
“Notis  mendadak ini membuatkan kami tertekan kerana menjelang musim peperiksaan kami diminta berpindah.
“Arahan ini menyukarkan kami semua. Walaupun Unisel ada menyediakan kediaman, namun jarak dengan universiti sangat jauh menyebabkan kami memilih untuk mencari rumah sewa sendiri di kawasan berdekatan bagi memudahkan kami ulang-alik ke fakulti,” katanya kepada FMT.
Menurut Nur Shafiqa Mohd Hassan, 21, arahan secara mengejut dan keadaan persekitaran asrama yang didakwa berdepan tanah mendap ini telah menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa mereka.
Notis singkat itu juga menyukarkan beliau dan rakan-rakan untuk mencari rumah sewa sedangkan mereka perlu menumpukan perhatian bagi peperiksaan yang bakal berlangsung esok.
Turut mengejutkan Nur Syafiqa apabila mendapati kadar sewa turut naik mendadak daripada RM500 kepada RM1,200 seunit.
`Sewa naik’
“Rumah yang disediakan Unisel jauh, kami cari rumah sewa di sekitar kawasan kampus namun didapati harga sewa rumah naik mendadak dalam keadaan darurat begini, oleh sebab terpaksa kami tiada pilihan lain.
“Rumah teres biasa dengan empat bilik  di taman perumahan berdekatan tiba-tiba naik daripada RM 500 kepada RM 1200 seunit yang disewa melalui agen,” katanya gusar.
Bagi Yus Atika Julaidi, 21, pula kurang berpuas hati dengan pengurusan asrama iaitu syarikat konsesi Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang didakwa gagal menyelesaikan aduan mengenai kerosakan di asrama.
“Berhubung mendapan tanah yang berlaku di asrama, dilihat pihak pengurusan dan penyelenggaraan JNSB mengambil sikap  sambil lewa dengan masalah yang kami laporkan selama ini.
“Kami sering melaporkan seperti insiden kebocoran paip, tandas tersumbat dan air kotor namun aduan kami tidak diendahkan. Ini menyebabkan kami terpaksa membaikinya sendiri,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Norsanishawati Jamain, 22, turut mengalami pengalaman sama apabila asrama yang didudukinya mengalami retakan dinding dan lantai serta wujud masalah sistem kumbahan.
“Dinding asrama kami berkulat kesan daripada dinding yang basah. Selain itu, kami juga berdepan dengan masalah anjing liar yang berkeliaran di kawasan asrama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Canselor Unisel, Prof Anuar Ahmad yang ditemui berkata pengosongan asrama perlu kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan kesihatan  pelajar.
Ini memandangkan mendapan yang berlaku itu turut berhubung kait dengan sistem kumbahan dan lebih membingkan ia turut memberi kesan kepada kesihatan para pelajar.
“Maka kita beri notis dengan kadar segera,sebab kalau saudari lihat ada banyak lalat malah wujud bau yang kurang menyenangkan di sekeliling asrama dan kawasan sekitar lain.
“Kepentingan kami adalah para pelajar. Kita tidak mahu berlaku seperti kes-kes mendapan tanah di tempat lain baru hendak bertindak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.