`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 14, 2013

“UMNO bukan wakili Melayu, usah syok sendiri”: Datuk Ariff Sabri


KUALA LUMPUR, 14 MAC: Gelaran ‘pengkhianat bangsa’ diguna pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) kepada ahlinya yang belot dan menyertai parti lain terutama DAP tambahan pula ia dimomokkan sebagai parti cauvinis dan pelampau.
Bekas pemimpin UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ariff Sabri menyifatkan tuduhan itu sebagai angkuh dan syok sendiri apabila UMNO mendakwa mereka pembela dan mewakili Melayu,
Ariff yang lebih dikenali sebagai Sakmongkol AK47 berkata, anggapan hanya orang Melayu yang menyertai UMNO sebagai Melayu, sebaliknya Melayu yang menyertai parti lain dianggap kurang ‘Melayunya’ adalah tidak betul.
Ariff berkata, perumpamaan sedemikian sangat dangkal kerana setelah menyertai DAP, sifat Melayu dan Islam beliau tidak sedikit pun berubah.
“Saya berada di luar UMNO, Melayu saya tak kurang, Islam saya juga tidak kurang.
“Saya nak sebut, kamu (UMNO) nak mewakili Melayu pun tak boleh. Sebab, pada 2008, ada sekurang-kurangnya 5.7 juta pengundi Melayu, calon UMNO hanya dapat dua juta undi.
“Ini menunjukkan, 3.7 juta pengundi Melayu pula tak beri undi pada UMNO. Maka, kalau lihat daripada undi, memang memalukan kalau dakwa diri sebagai jurubicara mewakili orang Melayu,” jelasnya dalam temuramah eksklusif.
Katanya lagi, slogan pembela Melayu yang sering dilaungkan UMNO itu sekadar untuk sedapkan diri sendiri dan jauh daripada realiti yang berlaku.
“Berdasarkan fakta, realitinya lebih ramai orang Melayu menolak UMNO berbanding mereka yang menyokong UMNO,” ujar beliau yang juga bekas ADUN Pulau Manis.
Mengenai penerimaan orang Melayu kepada perjuangan DAP, Ariff berkata, orang Melayu semakin menunjukkan minat dan tidak lagi takut atau benci kepada DAP seperti sebelumnya.
Menurutnya, ia diperkukuhkan lagi dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengamalkan prinsip cekap, akauntabel dan telus yang antara lain memberi manfaat besar bukan sahaja kepada orang Melayu malah meliputi semua rakyat negeri itu.
Tambah beliau, ini termasuk pembelaan terhadap kebajikan orang Melayu dan kemajuan Islam di negeri itu melalui pelbagai insentif, bantuan dan dasar.
“Banyak yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kemajuan orang Melayu dan Islam. Cuma media yang dikawal UMNO yang menyembunyikan fakta berkenaan.
“Hari ini orang Melayu mulai sedar perjuangan DAP ialah untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang baik dan melaksanakan dasar yang adil dan saksama dengan amalan urus tadbir yang cekap dan amanah. Itu yang paling penting,” ujar beliau.-Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.