`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, August 22, 2013

Hospital baru belum tahu bila beroperasi

Ia sudah acap kali menjadi isu para pemimpin pembangkang menghentam kelewatan kerajaan menyiapkan hospital tersebut.
Oleh Nuraniz Ghaus
KOTA KINABALU : Setelah tergelincir dari sasaran siap hujung tahun 2012, akhirnya menara berkembar Hospital Ratu Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu, siap juga.
Papan tanda “Hospital Ratu Elizabeth” yang baru sudah pun dilekatkan pada tingkat teratas bangunan 10 tingkat itu sejak beberapa hari lalu, dan semua “scaffolding” sudahpun dibuka.
Jabatan Kesihatan Negeri dijangka mengeluarkan satu kenyataan mengenai projek tersebut tidak lama lagi. Ia sudah acap kali menjadi isu para pemimpin pembangkang menghentam kelewatan kerajaan menyiapkan hospital itu bagi menggantikan bangunan lapan tingkat sebelum ini yang terpaksa dirobohkan kerana tidak lagi selamat.
Bagaimanapun belum diketahui bila tarikh sebenar hospital baru bernilai setengah bilion ini akan mula beroperasi menerima pesakit kerana peralatan juga dilaporkan masih diurus sehingga kini.
Cubaan menghubungi pejabat Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi gagal kerana beliau masih berada di luar negara.
Minat orang-ramai terhadap hospital baru itu makin hangat sejak kebelakangan ini bila ia kelihatan sudah “siap” dan ada papan tanda. Mereka tertanya-tanya bilakah QEH yang baru akan mula menerima pelanggannya. Para pesakit sekarang dirawat di saki-baki bangunan lama QEH dan juga di bangunan baru di Luyang terletak beberapa kilometer dari tapak utama QEH.
QEH yang berwajah baru ini ditetapkan mempunyai 660 katil dan merupakan antara hospital terbesar di dunia yang bernaung di bawah nama Ratu Elizabeth dari England.
Hospital ini mulanya dikenali sebagai Hospital Jesselton asalnya siap dibina pada tahun 1957. Hospital itu kemudian ditukar nama kepada Hospital Ratu Elizabeth bagi mengenang sumbangan kerajaan British kepada penubuhannya. Ratu Elizabeth II pernah melawat QEH ketika baginda melawat Sabah pada tahun 1971.
Menara lama setinggi lapan tingkat bernilai RM20 juta siap dibina pada tahun 1981, bagaimanapun 28 tahun kemudian pada 2009 ia didapati tidak lagi selamat kerana berlaku retakan besar di beberapa tempat dan terpaksa dirobohkan.
Pada sekitar tahun 2003, tindakan kerajaan Persekutuan membeli hospital swasta Sabah Medical Centre (SMC) di Likas pada harga RM272 juta telah menimbulkan tanda tanya rakyat Sabah kenapakah tidak membina sahaja hospital baru.
SMC pula kemudian membina sebuah bangunan baru hospitalnya sendiri di Luyang yang mempunyai rupa bentuk yang hampir serupa dengan bangunan lamanya di Likas, menimbulkan lebih banyak lagi tanda-tanya mengenai urusan jual-beli bangunan dan peralatan SMC di Likas.
Hospital lama SMC di Likas kemudian dinamakan Hospital Pakar Likas yang memberi rawatan khas untuk bersalin, onkologi dan hemodilisis.
Ketika itu Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng, telah dilaporkan berkata adalah lebih baik membeli hospital sedia ada pada harga RM272 juta daripada membina sebuah yang baru yang boleh menelan belanja RM504 juta.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.